Jerebu: ASEAN perlu bertindak segera

Keadaan berjerebu yanng dirakam di sekitar Petaling Jaya petang semalam.
Keadaan berjerebu yanng dirakam di sekitar Petaling Jaya petang semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR- Cara terbaik untuk meminimumkan risiko jerebu rentas sempadan yang semakin teruk di rantau ASEAN adalah dengan menangani punca fizikal dan politik berhubung isu kebakaran hutan dan jerebu.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Dr Helena Varkkey berkata, visi ASEAN bagi rantau bebas jerebu menjelang 2020 banyak bergantung kepada iltizam politik Indonesia untuk menangani kebakaran di dalam negara itu secara berkesan dan menerima bantuan tepat pada waktunya.

Dalam masalah jerebu merentas sempadan yang sedang melanda, Indonesia dilihat keberatan untuk menerima bantuan daripada Malaysia.

“Kita tidak pasti sekiranya akan berlaku satu lagi pusingan kebakaran besar pada tahun depan. Bagaimanapun, sama ada ini akan mengakibatkan jerebu di rantau ini akan banyak bergantung pada usaha pencegahan oleh pihak Indonesia, yang diharapkan dapat melaksanakannya dengan sebaik mungkin apabila kebakaran yang sedang berlaku dipadamkan sepenuhnya.

“Tetapi kita perlu ingat bahawa tahun bebas jerebu rentas sempadan, malah sekiranya 2020 adalah bebas jerebu, tidak bermakna tahun berikutanya juga akan bebas jerebu,” katanya.

Lebih 4,000 titik panas dikesan di kawasan tengah dan barat Indonesia dengan pihak berkuasa tempatan menugaskan anggota untuk memadamkan kebakaran yang menyebabkan jerebu menyelubungi rantau ini.

Kerajaan Indonesia dilaporkan telah menyita ladang termasuk konsesi milik syarikat asing berhubung pembakaran terbuka.

Varkkey berkata, saling menuding jari antara satu sama lain tidak akan membantu, berikutan Presiden Joko Widodo, sejak beberapa tahun lepas menyatakan bahawa walaupun berlaku kebakaran hutan di Indonesia, ini tidak menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Artikel Berkaitan:

Namun, Malaysia bergantung pada data serantau Pusat Meteorologi Khas ASEAN yang menunjukkan kebanyakan asap itu datang dari Indonesia.

Untuk mencapai rantau bebas jerebu, negara anggota ASEAN perlu mengambil langkah pencegahan seperti membina bangunan blok terusan untuk memastikan tanah gambut, sama ada yang masih asli atau sudah dibangunkan, kekal berair dan tidak mudah terbakar.

Pihak berkenaan juga perlu mengawal ketat penggunaan cara pembakaran bagi pertanian dan perladangan.

Secara menyeluruh, Varkkey berkata, kesan terhadap ekonomi dan industri pelancongan akan bergantung kepada betapa teruknya jerebu dan berapa lama ia berlarutan.

Beliau menegaskan kesannya tidak mudah untuk ditaksirkan dan biasanya kuantitinya hanya dapat diketahui selepas masalah jerebu berakhir. - Bernama