Penuntut maut kenderaan bertembung

Dua kenderaan bertembung menyebabkan seorang pelajar ILP Jitra maut di Gerik, petang tadi. FOTO: JBPM PERAK
Dua kenderaan bertembung menyebabkan seorang pelajar ILP Jitra maut di Gerik, petang tadi. FOTO: JBPM PERAK
A
A
A

GERIK - Seorang penuntut Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jitra, Kedah maut manakala, seorang parah dan enam yang lain cedera ringan dalam nahas membabitkan dua kenderaan di KM24 Jalan Raya Gerik - Jeli di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu, mangsa Muhammad Haziq Afnan Fazli, 20, disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, kemalangan itu membabitkan Perodua Viva yang dinaiki tiga pelajar dan Perodua Aruz yang dinaiki lima sekeluarga.

Menurutnya, Perodua Viva terbabit dipandu dari arah Jeli ke Gerik manakala keluarga terbabit dari arah bertentangan.

“Siasatan awal mendapati kenderaan pelajar terbabit dipercayai telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar MPV terbabit.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa merupakan penumpang hadapan telah tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.

Ismail berkata, pemandu Perodua Viva berusia 22 tahun dilaporkan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Gerik.

“Seorang lagi pelajar berusia 19 tahun dan keluarga terdiri pasangan suami isteri berusia 54 dan 52 tahun serta tiga anak mereka berusia 20 hingga 30 tahun dilaporkan cedera ringan.

“Kesemua mangsa dibawa mendapatkan rawatan di hospital sama dan mayat mangsa ditempatkan di Unit Forensik untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, punca kemalangan dipercayai akibat hilang kawalan namun siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.