Usaha tangani jerebu perlu kerjasama negara Asean: TPM

Dr Wan Azizah
Dr Wan Azizah
A
A
A

KUCHING- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, usaha menangani masalah jerebu rentas sempadan memerlukan kerjasama negara-negara anggota Asean.

Beliau berkata, ia memerlukan persetujuan kesemua 10 negara blok berkenaan untuk mengeluarkan satu mekanisme bagi menangani isu itu.

“Kalau transboundary haze (jerebu rentas sempadan) itu datang, kita nakkan semua negara Asean setuju dan kita buatkan cara mana kita nak tangani, tapi ini adalah satu usaha bersama,” katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan PKR Negeri, di sini, hari ini.

Mengenai usaha menangani jerebu dalam negara, Dr Wan Azizah, yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), berkata proses pembenihan awan telah dilakukan di Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Manakala Sarawak, pada 19 hari bulan ... lihat keadaan kalau ada awan untuk dibenihkan, sebab kadang kala bila tak ada awan situasi itu tidak membolehkannya hujan walaupun dah buat pembenihan,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, beliau juga telah menghubungi Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin untuk mendapatkan laporan terkini mengenai kawasan panas dalam negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: