Pas tumpu selamatkan Islam, Memali cerita lama

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pas kini memberi tumpuan kepada perkara lebih besar iaitu menyelamatkan Islam dan menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat gagal menguruskan ekonomi dan melindungi Islam berbanding tragedi Memali yang sudah tinggal sejarah.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, peristiwa Memali adalah cerita lama dan tiada lagi dendam terhadap peristiwa itu.

"Misalnya di zaman Nabi Muhammad SAW, seorang wanita, Hindun binti Utbah membunuh bapa saudara Rasulullah, Hamzah bin Abdul Muttalib dengan cara yang amat zalim hingga turut dibelah dada dan dipotong hidung.

"Bagaimanapun, ketika pembukaan Kota Makkah, Hindun binti Utbah memeluk Islam dan orang-orang kafir walaupun dulu mereka menentang Nabi Muhammad SAW tetapi kemenangan di Makkah mereka tunduk kepada Islam. Jadi tidak ada lagi dendam kepada (peristiwa) yang telah berlalu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad semalam bahawa tragedi Memali bukanlah perkara kecil.

Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, hanya orang yang tidak berhati perut akan mengatakan tragedi Memali adalah perkara kecil.

Terdahulu Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pada sidang media sempena Himpunan Perpaduan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Jumaat lalu berkata, Pas menganggap peristiwa Memali sebagai kecil berbanding agenda perpaduan melibatkan dua parti Melayu, Pas dan UMNO.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, Khalid tidak sepatutnya mengungkit cerita lama.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, rakan sejawatan Mohd Khairuddin, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, PH khususnya Amanah ketandusan isu untuk disuarakan.

"PH khususnya Amanah tak ada modal. Asyik ulang modal lama. Sepatutnya jawablah dengan fakta.

"Mereka selaku parti Islam dalam PH kenapa tak selesa bila dua parti Islam Melayu boleh bekerjasama?" katanya.