Amanah parti masa depan: Mujahid

Mujahid - Foto Bernama
Mujahid - Foto Bernama
A
A
A

Tanggal 16 September 2015 ada sejarahnya tersendiri kepada seluruh ahli Parti Amanah Negara (Amanah).

Pada hari ini sebuah parti bersumberkan Islam sebagai akar umbi perjuangannya diasaskan. Nilai yang dibawa dalam alam realiti kenegaraan parti ini ialah Progresif, Peduli dan Inklusif.

Ia mahu dinamakan dengan nilai tertinggi sesebuah perjuangan dan memilih nilai Amanah sebagai nama yang diberi.

Menyaksikan tarikh penting ini, kita tidak boleh mengelak daripada mengimbau empat tahun sebelumnya tentang kemunculan kumpulan ini.

Ia bermula lebih ke belakang daripada tahun 2015 atas platform Gerakan Harapan Baru atau singkatannya GHB setelah berlaku krisis dalaman Pas bermula pada tahun 2013 iaitu usai Pilihan raya Umum Ke-13 (PRU13).

Wadah GHB muncul setelah 18 individu kepimpinan tertinggi parti daripada kelompok progresif disingkirkan dengan cara terancang dalam pemilihan parti Pas pada 2014.

Selama beberapa tahun sebelum 2014, ada semacam satu gerakan tersusun daripada kelompok bertentangan yang menggelar diri mereka 'ulama' mahu mengambil alih sepenuhnya kepimpinan Pas.

Kumpulan 18 individu ini yang terdiri daripada timbalan presiden, naib presiden dan beberapa anggota Jawatankuasa Pusat adalah antara yang mahukan Pas menjadi lebih progresif dan mereka berusaha supaya Pas sentiasa berada pada kesepakatan politik yang kukuh dengan rakan daripada PKR dan DAP.

Artikel Berkaitan:

Hasratnya bagi membuka jalan kepada Pas agar dapat diterima semua kaum dan mendapat manfaat maksimum dalam pilihan raya yang disertainya pada 2008 dan 2013.

Usai PRU 2013, dengan kerusi yang memberangsangkan dimenangi oleh Pas hasil keterlibatannya dalam Pakatan Rakyat, kumpulan 18 (G18) berusaha mengekalkan persepakatan yang mula goyah antara Pas dan DAP agar Pas tidak terburu-buru membuat keputusan untuk putus hubungan dengan DAP akibat desakan daripada ulama.

Pas pada PRU 2013 mula dipengaruhi naratif bahawa DAP anti-Islam yang sebelumnya Pas mempertahankan pembohongan ini sejak 2008.

Namun G18 gagal mempertahankan kesepaduan Pakatan Rakyat malah dilabel sebagai 'anwarinas' 'pro DAP' dan 'anti ulama' sehingga membawa kepada kempen 'singkirkan golongan liberal' dalam Pas.

Akhirnya dengan bantuan 'elemen luar' yang merancang bersama geng ulama ini, maka berlakulah kemuncak perpecahan apabila G18 disingkirkan dari parti- sedangkan mereka inilah sebahagian daripada faktor kejayaan yang dinikmati oleh Pas pada PRU ke-12 dan 13.

Kisah selebihnya adalah dalam lipatan sejarah dan paling penting ialah krisis dalaman Pas telah melahirkan gagasan baru politik yang dijelmakan dalam parti baharu iaitu Amanah.

Amanah adalah cetusan kepada Harapan Baru selepas berkuburnya Pakatan Rakyat. Fakta ini terbukti apabila pada 16 September 2015, Amanah dilancarkan secara rasmi dan pada 22 September 2015 Pakatan Harapan kemudian dilancarkan.

Nama ‘Harapan’ juga mengambil semangat GHB di mana G18 yang disingkirkan telah menjelajah ke seluruh negara mengembalikan semula kepercayaan rakyat setelah pengundi kecewa terkuburnya Pakatan Rakyat kerana perbalahan antara parti komponen.

G18 terus menanam harapan agar perjuangan PRU 2013 diteruskan momentumnya walaupun mereka telah disingkirkan oleh partinya sendiri. Keazaman inilah yang mendorong kesepakatan politik pembangkang ketika itu disemarakkan semula setelah episod pergeseran Pas-DAP berlalu.

Tanpa menoleh ke belakang, G18 bertekad untuk menubuhkan parti dengan mengambil alih Parti Pekerja-Pekerja Malaysia.

Lalu dijenamakan semula dengan nama Parti Amanah Negara. Hari ini pada 16 September sempena Hari Malaysia, sebuah parti dilancarkan atas hasrat memberi Harapan kepada negara untuk memenuhi cita-cita membentuk fasa Malaysia Baru.

Kelompok G18 yang dulu dipersenda kini di persada memenuhi hasrat ia diasaskan dengan slogan Progresif, Inklusif dan Peduli.

Dengan meyakini Rahmatan Lil Alamin sebagai gagasan besarnya, Amanah yakin dengan keperluan kesepakatan Pakatan Harapan dan menggalas amanah besar mengisi pasca PRU ke-14 dengan citra Malaysia Baru.

Tidak syak lagi, Amanah adalah parti masa depan yang kini melangkah umurnya yang keempat tahun.

Syabas dan selamat menyambut ulang tahun ke-4 Parti Amanah Negara.

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof

Naib Presiden Amanah

Ahli Parlimen Parit Buntar