PERR 2019: Kingstown FC tempah tiket awal suku akhir

PSS menjadi pasukan terawal tersingkir daripada suku akhir setelah tewas kali ketiga pada aksi Kumpulan A PERR 2019. - Foto PBMM
PSS menjadi pasukan terawal tersingkir daripada suku akhir setelah tewas kali ketiga pada aksi Kumpulan A PERR 2019. - Foto PBMM
A
A
A

PENDATANG baharu, Kingstown Klang FC menjadi pasukan pertama yang layak ke suku akhir saingan Piala Emas Raja-raja (PERR) Ke-79 2019 apabila mengejutkan juara 2017, Pulau Pinang 1-0 hari ini.

Kemenangan di Padang Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah ini dicapai hasil jaringan Lukman Hakim Zulkepli dalam masa kecederaan babak kedua sekali gus membawa kelab Selangor ini menerajui Kumpulan B.

Inilah aksi 'pemusnah gergasi' kedua Kingstown selepas menumbangkan naib juara PERR musim lalu, Terengganu 3-0 semalam.

Terengganu pula terpaksa berpuas hati apabila diikat Singapura 1-1 biarpun mendahului menerusi Syahmi Aiman Zaki pada minit ke-48 sebelum jaringan Syahadat Masnawi pada minit ke-76 mengikat perlawanan.

Satu lagi muka baharu PERR, Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) terkeluar daripada perebutan suku akhir apabila mencetak kekalahan ketiga berturut-turut, 1-0 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Kumpulan A.

Kemenangan kedua menerusi jaringan Muhammad Amirul Amaran pada minit ketujuh perlawanan di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Polimas), Jitra ini mengekalkan PDRM sebagai peneraju kumpulan dengan tujuh mata.

Juara berganda bertahan PERR dan Piala Agong, Pahang pula berdepan kemungkinan terkandas awal dalam Kumpulan C setelah dirundung kekalahan kedua, kepada Negeri Sembilan 3-2 di UUM.

Melaka yang mengejutkan Pahang 1-0, Sabtu lalu, kekal menerajui kedudukan mata kumpulan ini dengan menundukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 juga di UUM menerusi dua gol Amirul Syafiq Abdul Rahim.

Artikel Berkaitan:

ATM cuba bangkit selepas gol lawan pada minit pertama dan ke-20 itu lantas merapatkan kedudukan menerusi Muhammad Dzulfadhlie biarpun kehilangan Wan Fadhli yang dibuang padang pada minit ke-59.

Kuala Lumpur pula menghidupkan peluang ke suku akhir daripada Kumpulan D apabila selesa membenam Perlis 3-0 di UUM setelah membuka langkah kecundang 4-2 kepada Perak, semalam.

Dua gol Nabilah Khan Razali pada minit ketiga dan 45 selain satu oleh Muhammad Fakhrulrazi memastikan mata penuh skuad ibu kota sementara Perlis kekal dengan satu mata setelah turut mengikat Kedah 1-1, semalam.

KEPUTUSAN HARI INI

Kumpulan A:

DBKL FC 1 -1 MISC

PSS 0-1 PDRM

Kumpulan B:

Pulau Pinang 0-1 Kingstown Klang FC

Terengganu 1-1 Singapura

Kumpulan C:

Melaka 2-1 ATM

Pahang 2-3 Negeri Sembilan

Kumpulan D:

Kuala Lumpur 3-0 Perlis

JADUAL RABU

Kumpulan A:

Selangor lawan DBKL FC (Polimas, Jitra)

PDRM lawan MISC (Stadium Mini Jitra)

Kumpulan B:

Kingstown Klang FC lawan Singapura

Terengganu lawan Singapura (UUM, Sintok)

Kumpulan C:

Kelantan lawan Melaka

Pahang lawan ATM (UUM, Sintok)

Kumpulan D:

Perlis lawan Perak

K. Lumpur lawan Kedah (UUM, Sintok)

* Sepak mula 4.45 petang kecuali K. Lumpur-Kedah, 8.45 malam