Malaysia Warrior julang nama negara

Pemain Malaysia Warrior meraikan kejayaan muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Global 2019 di J Green Sakai, Osaka, Jepun hari ini. Foto: Uwais Qarni
Pemain Malaysia Warrior meraikan kejayaan muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Global 2019 di J Green Sakai, Osaka, Jepun hari ini. Foto: Uwais Qarni
A
A
A

[DIKEMASKINI] Khabar gembira buat seluruh rakyat Malaysia yang meraikan Sambutan Hari Malaysia apabila wakil negara, Malaysia Warrior muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Global 2019 di J Green Sakai, Osaka, Jepun hari ini.

Lebih membanggakan apabila pemain Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga antara tonggak Malaysia Warrior, Muhammad Azmer Masri Ahmad dijulang selaku Pemain Paling Bernilai (MVP) pada kejohanan peringkat umur bawah 12 tahun itu.

Pada aksi final itu, Ahmad Zamil Zaqwan Samsulkama dan Muhammad Amir Asyraaf Yusnizam masing-masing menyumbang satu gol bagi mengesahkan kemenangan 2-0 Malaysia Warrior ke atas kelab Jepun, Ventforet Kofu.

Individu paling gembira dengan kejayaan itu sudah pasti Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada yang bertanggungjawab ‘menerbangkan’ Malaysia Warrior dan satu lagi wakil negara, Malaysia Tiger ke bumi Osaka untuk beraksi pada kejohanan tersebut.

Mengulas kejayaan Malaysia Warrior muncul juara edisi sulung Piala Global, Hamada berkata, beliau cukup berbangga dengan pencapaian tersebut biarpun kali pertama barisan pemain cilik negara itu beraksi pada kejohanan di luar negara.

Malaysia Warrior bersama pemain Ventforet Kofu sebelum aksi final Kejohanan Bola Sepak Piala Global 2019 di J Green Sakai, Osaka, Jepun hari ini. Foto: Uwais Qarni
Malaysia Warrior bersama pemain Ventforet Kofu sebelum aksi final Kejohanan Bola Sepak Piala Global 2019 di J Green Sakai, Osaka, Jepun hari ini. Foto: Uwais Qarni

“Saya sendiri tidak sangka dan terkejut dengan pencapaian Malaysia Warrior muncul juara Piala Global kali ini. Ia satu kejayaan yang cukup istimewa terutamanya kepada seluruh rakyat Malaysia sempena Sambutan Hari Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Sepertimana yang kita ketahui, kejohanan ini menampilkan beberapa kelab terbaik di Jepun selain Thailand dan India. Jadi sudah pasti kejayaan ini menjadi satu lagi sejarah baharu bola sepak Malaysia,” katanya sejurus tamat aksi final hari ini.

Hamada berkata, Piala Global 2019 yang menampilkan keseluruhan 24 pasukan seharusnya menjadi medan terbaik buat skuad Malaysia Warrior dan Malaysia Tiger bagi menimba pengalaman beraksi dengan kelab-kelab luar negara khususnya Jepun.

“Ini satu permulaan yang baik buat para pemain muda Malaysia mendapat pendedahan dengan pertandingan di luar negara. Saya harap mereka dapat belajar sesuatu daripada pertandingan ini,” jelasnya.

Sementara itu, Jurulatih Malaysia Warrior, Mohd Redzuan Mustapai berkata, semangat berpasukan menjadi kunci utama kejayaan skuad kendaliannya muncul juara Piala Global 2019.

“Syukur alhamdulillah kerana kami pulang dengan kejayaan ini. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutamanya Yakult kerana menjadi penaja pasukan pada kejohanan ini.

“Bagi saya, para pemain telah memberikan persembahan terbaik mereka sejak perlawanan pertama lagi. Saya juga dapat lihat, mutu permainan mereka semakin baik daripada satu perlawanan kepada satu perlawanan,” ujarnya.

Pemain Malaysia Warrior meraikan jaringan pertama. Foto: Uwais Qarni
Pemain Malaysia Warrior meraikan jaringan pertama. Foto: Uwais Qarni

Dalam pada itu, Muhammad Azmer Masri tidak menyangka dapat membawa pulang trofi MVP kerana misi utamanya lebih kepada membantu Malaysia Warrior merekodkan keputusan positif dalam setiap perlawanan yang diharungi.

“Saya agak terkejut menerima anugerah MVP ini kerana sudah pasti ramai pemain terutamanya dari Jepun memiliki skil permainan yang baik. Apapun anugerah ini melonjakkan lagi semangat saya untuk memberikan aksi terbaik,” katanya.

Satu lagi wakil negara - Malaysia Tiger pula menamatkan saingan di tangga ke-13 hasil kejayaan membenam Tottori FC 6-0 pada perlawanan klasifikasi tempat ke-13 dan 14.