Bunyi seakan letupan di luar rumah

Salah sebuah daripada 22 rumah yang terjejas dalam kejadian ribut di Baling petang semalam.
Salah sebuah daripada 22 rumah yang terjejas dalam kejadian ribut di Baling petang semalam.
A
A
A

BALING - Bunyi seperti letupan mengejutkan sebuah keluarga yang sedang berehat di Kampung Charok Sik, dekat sini ketika angin kuat dan hujan lebat melanda Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang dan Bayu petang semalam.

Pemilik rumah, Rasidi Md Noor, 59 berkata, dia dan keluarga terkejut mendengar bunyi letupan dari luar rumah.

"Kami keluar dan melihat bumbung rumah sudah diterbangkan angin kuat," katanya.

Menurutnya, kejadian itu juga menyebabkan seorang anaknya cedera di kepala akibat terkena serpihan siling bumbung rumah.

"Kami menghantarnya mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Parit Panjang. Setakat ini kami tidak tahu hendak menumpang di mana tetapi akan membina pondok untuk berteduh dan memasak buat sementara waktu," katanya.

Rasidi di hadapan bumbung rumah yang diterbangkan angin.
Rasidi di hadapan bumbung rumah yang diterbangkan angin.

Rasidi berkata, seorang jirannya yang menghidap darah tinggi dimasukkan ke Hospital Baling selepas terkejut melihat bumbung rumah diterbangkan angin kuat.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, sebanyak 22 rumah terjejas dalam kejadian ribut tersebut setakat jam 8.30 malam semalam.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bancian dan siasatan berkaitan bencana ribut itu sedang dijalankan.

Kejadian tersebut turut mendapat perhatian agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah Baling, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Lembaga Zakat Negeri Kedah.