Negeri Sembilan sedia kongsi air dengan Melaka

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN- Negeri Sembilan sedia membantu Melaka susulan krisis air yang dihadapi negeri itu sejak beberapa hari lalu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata, Negeri Sembilan mampu berkongsi bekalan air dengan Melaka susulan paras empangan negeri ini berada pada tahap baik.

"Setakat ini bekalan air kita mampu menampung keperluan rakyat Negeri Sembilan dan kita sedia maklum masalah air di Melaka pada masa ini agak meruncing," katanya pada sidang akhbar Karnival Hari Malaysia 2019 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat di sini.

Aminuddin (berdiri, lima dari kanan) beramah mesra dengan peserta Karnival Hari Malaysia 2019 DUN Sikamat.
Aminuddin (berdiri, lima dari kanan) beramah mesra dengan peserta Karnival Hari Malaysia 2019 DUN Sikamat.

Dalam pada itu Aminuddin berkata, bantuan bekalan air dari Negeri Sembilan ke Melaka dilaksanakan seperti dipersetujui melalui perjanjian persefahaman (MoU) antara kedua-dua negeri berkenaan.

Berdasarkan MoU itu, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) akan membekalkan 12 juta liter air bersih tambahan sehari (mld) pada kadar RM1.40 untuk setiap meter padu dan perjanjian itu dikuatkuasa bermula 19 Jun lalu sehingga 31 Disember depan.

Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sebelum ini mendapatkan bantuan daripada operator air daripada beberapa negeri jiran bagi menangani krisis bekalan air di negeri itu.

Ia susulan kemerosotan paras di empangan, kolam tadahan dan Sungai Melaka kerana purata hujan rendah menyebabkan gangguan kepada tekanan air di beberapa kawasan sekitar Melaka.

Artikel Berkaitan: