Pelancong asing teruja pakai tanjak

Vojta (kiri) dan Safranek tertarik dan teruja dengan kemeriahan sambutan Hari Malaysia.
Vojta (kiri) dan Safranek tertarik dan teruja dengan kemeriahan sambutan Hari Malaysia.
A
A
A

KUALA LUMPUR- Kemeriahan sambutan Hari Malaysia di Dataran Merdeka yang diwarnai dengan kepelbagaian masyarakat yang meraikannya dengan mengenakan pemakaian busana tradisional turut menarik perhatian pelancong asing.

Seorang pelancong asing yang berasal dari Republik Czech, Vojta Petrak, 24, berkata, keunikan itu amat menarik perhatiannya.

"Saya lihat ramai yang mengenakan 'benda' ini (tanjak), jadi saya ingin memakainya dan terus saya beli dengan penjual di sini.

"Saya rasa tanjak ini amat menarik dan saya amat menyukainya," katanya.

Dia yang sudah 14 hari berada di Malaysia turut teruja melihat sambutan Hari Malaysia hari ini dan cara layanan rakyat negara ini kepadanya.

"Rakyat Malaysia sangat ramah dan baik, mereka amat mengalu-alukan kehadiran orang luar seperti kami.

"Hari ini di Dataran Merdeka ketika saya melihat orang ramai mengenakan pakaian tradisi itu saya fikir rakyat di sini begitu 'berwarna warni'," katanya.

Pandangan itu turut disokong oleh rakannya, Safranek Jan, 24, yang turut menyukai pemakaian busana tradisional rakyat negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia unik bagi saya, selain negara ini cukup harmoni dan rakyatnya sangat baik dan ramah," katanya.

Tanjak yang juga digelar tengkolok atau destar merupakan pakaian kepahlawanan masyarakat Melayu dan kini dipakai dalam pelbagai acara adat istiadat masyarakat Melayu atau majlis di istana.

Tanggal 16 September yang diisytiharkan Hari Malaysia ialah kesinambungan sambutan Hari kebangsaan yang diraikan pada 31 Ogos sejak 1957.

Sambutan Hari Malaysia tahun ini berlangsung di Padang Merdeka, Kuching dan seperti Hari Kebangsaan Ke-62 yang bertema ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’, tema sama turut dipilih sebagai tema Hari Malaysia.

Sementara itu di Dataran Merdeka hari ini diadakan sambutan himpunan busana kebangsaan sempena menyambut Hari Malaysia.