'Kerjasama UMNO-Pas jadi ancaman kepada PH'

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerjasama UMNO-Pas dilihat menjadi ancaman paling besar kepada Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerjasama itu bakal mengubah jalan politik di negara ini untuk selama-lamanya.

“Sebelum pemeteraian itu berlaku, banyak sekali reaksi daripada pelbagai pihak, terutamanya beberapa pemimpin utama PH.

“Kita menghormati semua pandangan mereka. Apapun, kita dapat merasakan bahawa ada rasa ‘anxiety’ yang sukar dipendam dalam pimpinan PH.

“Pastinya kerana dijangka kerjasama ini akan menjadi ancaman paling besar kepada PH,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, PH melihat kerjasama itu semata-mata dari sudut ‘menyemarakkan politik perkauman dan agama’.

“Kepada rakan-rakan dalam PH, pesanan saya ialah, bersangka baiklah. Jangan terlalu sangat berprasangka yang bukan-bukan. Imaginasi kalian kadang-kadang keterlaluan.

“UMNO dan Pas akan diadili oleh rakyat Malaysia melalui proses demokrasi. Jika Muafakat Nasional ini tidak diterjemahkan seperti iltizam kami dalam Piagam yang telah ditandatangani, biarlah rakyat yang menentukannya melalui pilihan raya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan Mohamad menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Kenyataan Mohamad menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Menurutnya, beliau yakin bahwa agenda pengukuhan dan penyatuan ummah menerusi piagam UMNO-Pas akan bertahan.

“Yang pasti UMNO dan Pas telah menyatakan ikrar dan iltizamnya untuk memimpin gerakan permuafakatan nasional demi kemakmuran dan kesejahteraan Malaysia.

“Ia bukan lagi tentang sekadar politik Melayu dan Islam. Itu adalah 'a done deal’. Cabarannya sekarang bagaimana kekuatan Melayu dan Islam itu boleh menjadi lonjakan untuk mempelopori gerakan kesepakatan, perpaduan dan keeratan nasional dalam kerangka demokrasi dan dipandu nilai demokratik,” katanya.

Mohamad berkata, Muafakat Nasional akan bersaing dengan PH dengan menggunakan idea, pemikiran serta kecerdasan dan bukannya sentimen kaum dan agama.

“Kami senantiasa memilih jalan konstruktif dan akan mempelopori pembaharuan dasar yang progresif.

“Insya-ALLAH, kami akan tawarkan kepada rakyat Malaysia ini politik yang bukan sekadar matang dan demokratik tetapi progresif, bersandar idea dan ilmu termaju serta berkeadilan dan inklusif,” katanya.