Kebakaran hutan: Jokowi digesa ambil tindakan segera

Seorang penunggang motosikal meredah jerebu tebal di Kampung Rambutan, wilayah Sumatra Selatan. - Foto AFP
Seorang penunggang motosikal meredah jerebu tebal di Kampung Rambutan, wilayah Sumatra Selatan. - Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Kumpulan pencinta alam sekitar semalam mendesak Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi untuk mengambil tindakan segera bagi memadamkan kebakaran hutan di pulau Sumatera dan Borneo yang berlaku sejak beberapa minggu lalu.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, kualiti udara telah mencapai paras tidak sihat dan bahaya di beberapa bahagian selepas jerebu tebal menyelubungi ruang udara di enam wilayah di pulau berkenaan.

"Tindak balas kerajaan sangat perlahan. Penduduk terutamanya kanak-kanak dan orang tua terus menderita akibat jerebu tebal," jelas 12 organisasi dalam satu surat terbuka kepada presiden.

Kumpulan tersebut turut menggesa kerajaan untuk segera menghantar pekerja perubatan bagi merawat mangsa secara percuma serta memindahkan penduduk bermasalah ke tempat lebih selamat.

Minggu lalu, kebakaran Indonesia memusnahkan lebih 328,000 hektar ladang dan hutan di seluruh negara terutama di enam wilayah di Sumatera serta Borneo.

Lebih 9,000 anggota dan 40 helikopter turut dikerah bagi membantu memadamkan kebakaran.

Asap dari kebakaran itu juga merebak sehingga ke negara jiran termasuk Malaysia, Singapura dan Thailand. - DPA

Artikel Berkaitan: