Teroka intipati politik 3R tawan pengundi muda

Jeneri Amir
Jeneri Amir
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO dan Pas perlu menerokai intipati perjuangan politik lebih mendalam daripada asas 3R iaitu race (kaum), religion (agama) dan royalti (institusi diraja) jika mahu meraih sokongan golongan pengundi muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak(Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, kedua-dua parti utama kaum Melayu itu tidak harus mengenepikan hakikat negara ini terdiri pelbagai kaum sementara mereka menjunjung aspek 3R dalam piagam UMNO-Pas yang dimeterai semalam.

Menurutnya, mereka perlu meletakkan wacana politik dalam konteks masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya serta tidak sekadar berlegar dalam segmen ideologi nasionalisme Melayu dan agama Islam semata-mata.

"Pas dan UMNO tidak boleh meminggirkan golongan muda lebih-lebih lagi pengundi berusia 18 tahun ke atas dan mempunyai suara besar dalam menentukan survival politik negara.

"Saya percaya kedua-dua parti berkenaan sedar akan naratif politik yang perlu dipasarkan kepada segmen muda dengan intipati manifesto politik perlu melangkaui asas 3R diperjuangkan mereka kini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Jeniri berkata, keperluan melangkaui intipati politik berorientasikan 3R penting bagi mengelakkan survival politik UMNO dan Pas terperangkap jika strategi salah dimainkan kedua-dua parti kelak.

Menurutnya, di sebalik usaha UMNO dan Pas menyemarakkan sentimen masyarakat Melayu dan Islam menerusi kerjasama taawun dimeterai, kedua-dua parti itu kini dilihat semakin sukar hendak menerima imaginasi politik bukan Melayu termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Justeru, UMNO dan Pas perlu memaksimumkan usaha menakluki jiwa dan minda masyarakat Melayu terutama golongan muda dengan berterusan menunjukkan isu relevan.

Artikel Berkaitan:

"Paling penting kedua-dua parti melepasi ujian paling besar dalam aspek pembahagian kerusi pilihan raya dan perkara itu perlu dilaksanakan lebih awal dan diagih berdasarkan rekod prestasi pilihan raya lalu dan kajian empirikal di peringkat akar umbi," katanya.