UMNO kini belayar dalam kapal besar ummah

No Image Caption
A
A
A

SEMUA orang tahu apa yang berlaku pada tanggal 9 Mei 2018.

Merak Jalanan yang turut berada di pejabat media sehingga jam 5 pagi juga melihat sendiri bagaimana ombak ganas telah membadai kapal besar Barisan Nasional (BN) bernakhodakan UMNO.

Rentetan badai tsunami itu, bahtera besar BN bocor teruk dan hampir karam pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Bukan sedikit kelompok pegawai dan penumpang yang mula meninggalkan kapal besar BN itu seperti Gerakan, MyPPP, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dan banyak lagi.

Lebih menyedihkan pada saat genting itu, banyak juga komander, leftenan dan kelasi-kelasi kapal UMNO sendiri angkat kaki melompat masuk ke kapal besar lain terutamanya Bersatu yang dilihat sedang gagah belayar di samudera Malaysia.

UMNO yang ditinggalkan ‘kesepian’ berlayar tanpa arah, malah makin uzur apabila tewas dalam beberapa pilihan kecil.Namun, dalam politik apatah lagi di Malaysia rencananya penuh warna. Kawan menjadi lawan dan musuh menjadi teman bukan satu kisah asing lagi.

Selepas beberapa kali mencuba menerusi pilihan raya kecil, UMNO melihat tidak dapat tidak, parti itu perlu mencari kerjasama baharu untuk membaik pulih kembali kapal besarnya. Dan akhirnya jawapan itu terletak pada parti Pas yang memiliki 818,029 ahli di seluruh negara.Kelmarin, kedua-dua parti itu memeterai satu piagam menerusi Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur yang menyaksikan secara rasminya parti berasaskan Melayu-Islam itu kini bekerjasama.

Walaupun nampak kembali gagah berbanding Mei tahun lalu selepas bahtera bocor, namun UMNO masih mempunyai ujian besar dalam mendapatkan kembali Putrajaya.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana dalam sebuah negara majmuk, gagasan ummah mempunyai cabaran dalam memenangi hati orang bukan Melayu dan bukan Islam. Persoalannya, adakah MCA dan MIC mampu memikul tugas itu?