Pusara BJ Habibie jadi tempat swafoto

Seorang pengguna di Instagram berkongsi gambar penziarah yang terlampau 'ghairah' mengambil swafoto di pusara BJ Habibie. - Foto: lambe_turah/Instagram
Seorang pengguna di Instagram berkongsi gambar penziarah yang terlampau 'ghairah' mengambil swafoto di pusara BJ Habibie. - Foto: lambe_turah/Instagram
A
A
A

JAKARTA - Thareq Kemal Habibie yang merupakan anak kepada bekas Presiden ketiga Indonesia, BJ Habibie memberitahu, dia tidak keberatan apabila pusara bapanya menjadi sasaran orang ramai mengambil swafoto.

Menurut putera ketiga BJ Habibie, keluarganya sedia maklum tentang keghairahan individu yang mahu mengabdikan momen di pusara pemimpin terbabit yang meninggal dunia Rabu lalu.

Orang ramai tidak putus-putus menziarahi pusara BJ Habibie selepas beliau dikebumikan di Taman Makam Pahlawan Nasional Utama Kalibata, Jakarta Selatan.

Mereka sanggup bersesak demi untuk mengambil swafoto di sisi batu nisan di pusaranya.

Fenomena itu turut menjadi tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi pengguna.

Kebanyakan pengguna media sosial berasa kurang senang dengan tingkah laku tersebut yang didakwa tidak sepatutnya dilakukan di pusara tokoh terkemuka negara itu.

Menteri Sosial, Agus Gumiwang Kartasasmita turut menerima aduan tentang 'fenomena' itu dan beliau bertindak mengarahkan pihak berkuasa memantau penziarah supaya tidak hanya berswafoto semata-mata.

"Ramai pengguna media sosial marah dengan perbuatan penziarah yang memeluk nisan pusara BJ Habibie sambil mengambil swafoto. Jadi, kami akan tempatkan anggota satuan pengaman di kawasan pusara itu selama sebulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pemerhatian yang dilakukan di kawasan pusara itu mendapati para penziarah kini diminta untuk meninggalkan kad pengenalan kepada pengawal keselamatan di pintu masuk dan mereka juga dinasihatkan supaya tidak sibuk berswafoto. - Agensi