X

Kindly register in order to view this article
!

'Saya tidak faham bagaimana UMNO boleh bekerjasama dengan Pas'

Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara sinis mempersoal bagaimana UMNO boleh bekerjasama dengan Pas yang menuduh parti yang pernah dipimpinnya sebagai kafir sebelum ini.

"Saya tidak faham bagaimana UMNO boleh bekerjasama dengan Pas kerana UMNO padanya (Pas) kafir," katanya pada sidang media sebaik selesai menghadiri Program The Putrajaya Boat Race 2019 di Kelab Tasik Putrajaya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kerjasama UMNO dan Pas yang dimeterai secara rasmi oleh kedua-dua parti itu semalam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Ditanya lebih lanjut mengenai permuafakatan kedua-dua parti Melayu terbesar negara yang pernah menjadi seteru itu dikatakan bukan bersifat perkauman dan agama, Dr Mahathir berkata, ia terpulang kepada niat sebenar.

“Terpulanglah kepada mereka (Pas-UMNO) untuk mengatakan jalinan kerjasama ini tidak berkaitan dengan agama atau perkauman.

"Jika anda di sana untuk mencetus rasa perkauman, itu salah," katanya.

Semalam, PWTC melakar sejarah apabila menjadi lokasi berlangsungnya majlis menandatangani Piagam Muafakat Nasional sempena Himpunan Perpaduan Ummah (HPU) oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut disaksikan ribuan ahli kedua-dua parti selain para pemerhati.

Intipati yang terkandung dalam piagam itu juga turut bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum di negara ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus