'Kesungguhan ayah jadi inspirasi'

Aminuddin (lima dari kanan) turut mengiringi jenazah Mustafa ketika majlis pengebumian di Seremban semalam. Gambar kecil: Allahyarham Mustafa.
Aminuddin (lima dari kanan) turut mengiringi jenazah Mustafa ketika majlis pengebumian di Seremban semalam. Gambar kecil: Allahyarham Mustafa.
A
A
A

SEREMBAN - Anak sulung kepada Bendahari Pas Negeri Sembilan, Mustafa Dolah yang meninggal dunia selepas menyertai Himpunan Perpaduan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur Sabtu lalu, berazam meneruskan kesinambungan perjuangan bapanya dalam menegakkan Islam.

Faiz Mustafa, 38, berkata, kepimpinan yang ditunjukkan Allahyarham bapanya itu amat dikagumi kerana berjaya mendidik kesemua empat anaknya.

"Arwah sentiasa menunjukkan kesungguhan dalam melunaskan setiap tanggungjawab sehingga menjadi inspirasi kepada kami adik-beradik,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Menurutnya, bapanya sebelum ini pernah dimasukkan ke wad di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini akibat masalah jantung.

“Kami ada menasihatinya supaya tidak ke PWTC kerana bimbang akan kesihatannya. Namun arwah tetap mahu meneruskan hajatnya sebelum diserang sakit jantung dan pengsan.

“Arwah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum meninggal dunia kira-kira jam 1 pagi,” katanya.

Allahyarham Mustafa yang merupakan bekas guru sekolah sebelum ini bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mewakili Pas bagi kerusi Parlimen Rembau. Beliau tewas kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN).

Jenazah Mustafa dimandi dan dikafankan di surau di HKL sebelum dibawa pulang ke Seremban dan tiba kira-kira jam 5 pagi semalam sebelum dikebumikan di Makam Tuan Haji Said di sini jam 12 tengah hari tadi.

Artikel Berkaitan:

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun turut mengiringi jenazah Mustafa di tanah perkuburan Islam Makam Tuan Haji Said di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bendahari Pas NS meninggal semasa sertai Himpunan Penyatuan Ummah