Jerebu: Utus surat kepada Indonesia selepas peroleh bukti lengkap

Dr Mahathir ketika bercakap pada sidang media di Kelab Tasik Putrajaya hari ini.
Dr Mahathir ketika bercakap pada sidang media di Kelab Tasik Putrajaya hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan sama ada Malaysia akan mengutus surat kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo mengenai keadaan jerebu rentas sempadan yang turut menjejaskan mutu udara di negara ini akan ditentukan sebaik pengesahan lanjut diperoleh.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketika ini pihaknya masih meneliti dakwaan Indonesia yang mengatakan masalah itu berpunca daripada negara ini.

"Buat masa ini belum lagi. Kita akan lihat kepada bukti yang mengatakan Malaysia jadi punca.

"Jadi, kita kena ada pengesahan sama ada akan utus surat atau tidak," katanya pada sidang media sebaik selesai menghadiri Program The Putrajaya Boat Race 2019 di Kelab Tasik Putrajaya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia berhasrat untuk menulis surat kepada kerajaan Indonesia berhubung keadaan jerebu rentas sempadan yang telah menjejas mutu udara di negara ini.

Beberapa hari lalu, Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya dilaporkan mendakwa jerebu yang menyelubungi Malaysia berasal dari Sarawak.

Katanya, beliau akan menulis surat kepada duta besar Malaysia di Jakarta untuk disampaikan kepada menteri yang berkenaan bagi mendapatkan fakta yang tepat.

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir turut meminta orang ramai agar tidak terlalu bimbang dengan keadaan jerebu yang sedang melanda negara ketika ini kerana ia masih lagi terkawal.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan jerebu tidak begitu teruk, saya pakai topeng ketika naik kuda (pagi tadi) supaya orang tidak kenal," katanya secara berseloroh.

Pagi tadi, Dr Mahathir melalui video yang dimuat naik di laman Youtube rasminya Chedet Official dilihat menunggang kuda di Pusat Ekuin Universiti Putra Malaysia (UPM) sambil memakai topeng muka.