Operasi pembenihan awan di empat negeri esok

Bacaan IPU setakat jam 7 petang hari ini. Foto: Facebook MetMalaysia dan APIMS
Bacaan IPU setakat jam 7 petang hari ini. Foto: Facebook MetMalaysia dan APIMS
A
A
A

SHAH ALAM - Operasi pembenihan awan (OPA) bagi mengurangkan jerebu akan dilakukan di empat negeri yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat melebihi bacaan 200 esok.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata, negeri yang terlibat ialah Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

Menurutnya, pihaknya merancang untuk melakukan pembenihan awan di Selangor hari ini namun pemantauan menunjukkan keadaan cuaca tidak sesuai, selain kurang kadar kelembapan dalam udara.

"Kalau kita teruskan juga (operasi) hari ini, ia hanya akan sia-sia, tetapi esok kita akan buat di kawasan Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan kalau sempat di Selangor kerana keadaan cuaca dan kadar kelembapan dilihat lebih baik esok," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan melihat kawasan-kawasan di negeri lain yang bacaannya menghampiri 200 untuk menjalankan pembenihan awan.

Proses operasi OPA dijalankan. Foto: Facebook MetMalaysia dan APIMS
Proses operasi OPA dijalankan. Foto: Facebook MetMalaysia dan APIMS

"Kalau ikut SOP (prosedur operasi standard) pembenihan awan hanya dibuat di kawasan yang bacaan IPU melebihi 200, tetapi kita akan cuba buat juga untuk kawasan yang bacaan hampir 200. Sekurang-kurangnya dapat mengurangkan seketika keadaan jerebu.

"Bagi negeri Sarawak pula, walaupun indeks menunjukkan bacaan sangat tidak sihat, kita tak dapat lakukan pembenihan awan di situ, dijangka sehingga Khamis ini kerana kadar kelembapan dalam udara sangat rendah dan hanya lembap pada sebelah malam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, operasi pembenihan awan tidak boleh dilakukan pada waktu malam.

Katanya, pihaknya membuat pemantauan secara berkala kerana bacaan IPU akan berubah setiap hari.

Dalam pada itu, Jailan berkata, keadaan jerebu akan mengambil sedikit masa untuk pulih susulan punca kebakaran di Indonesia masih ada dan ditambah angin barat daya masih bertiup ke negara ini.

Menurutnya, selepas angin monsun barat daya berakhir dijangka hujung bulan ini atau awal Oktober depan, keadaan negara dijangka pulih seperti biasa.

"Ketika itu akan berlaku peralihan monsun dan di pantai barat biasanya banyak hujan jadi ia akan membantu meredakan masalah jerebu," katanya.

Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar, setakat jam 7 petang tadi, empat kawasan di Johor, Melaka dan Sarawak mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu Tangkak 246, Bandaraya Melaka (214), Kuching (214) dan Samarahan (207).

Sementara itu, 27 lagi kawasan dikenal pasti mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, 27 kawasan merekodkan bacaan sederhana dan 10 kawasan dilaporkan baik.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).