Ismail Sabri diberi 24 jam mohon maaf, tarik balik kenyataan

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menuntut permohonan maaf daripada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung dakwaannya bahawa pensijilan halal Malaysia kini diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.

Katanya, Ahli Parlimen Bera itu diberi masa 24 jam untuk menarik balik kenyataannya dan meminta maaf sebelum tempoh itu berakhir jam 3 petang hari ini.

Menurutnya, sekiranya Ismail Sabri gagal berbuat demikian, beliau akan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan lanjut.

“Sekiranya dalam tempoh 24 jam tiada permintaan maaf daripada beliau, saya akan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung perkara itu,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut menafikan kenyataan pemimpin UMNO itu dan menjelaskan sehingga kini proses pensijilan halal Malaysia masih di bawah tanggungjawab jabatan itu dan pihak berkuasa agama Islam.

Lip Eng berkata, sebagai seorang ahli politik berpengalaman, Ismail Sabri wajar bertanggungjawab terhadap kenyataannya itu.

“Saya mahu Ismail Sabri menarik balik penipuannya dan memohon maaf kepada Jakim serta rakyat kerana menghasut kebencian agama menggunakan isu pensijilan halal itu.

“Beliau mempunyai waktu sehingga jam 3 petang, 16 September 2019 untuk menarik balik dan memohon maaf. Jika gagal saya akan meminta pihak berkuasa agama Islam, ketua polis dan SKMM untuk mengambil tindakan selanjutnya kepada Naib Presiden UMNO itu,” katanya.

Artikel Berkaitan: