Jual ketum RM10 sebungkus

Bungkusan air dan daun ketum yang dirampas dalam satu operasi di Kampung Pintu Padang semalam.
Bungkusan air dan daun ketum yang dirampas dalam satu operasi di Kampung Pintu Padang semalam.
A
A
A

GOPENG - Seorang lelaki ditahan bersama 28 bungkusan daun dan air ketum dalam satu operasi di Kampung Pintu Padang di sini semalam.

Dalam serbuan sekitar jam 11 malam itu, suspek berusia 30 tahun disyaki menjalankan kegiatan memproses dan menjual air ketum.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, siasatan awal mendapati daun ketum yang diproses dijual pada harga RM10 sebungkus kepada penduduk kampung.

"Polis juga berjaya merampas 18 bungkusan plastik setiap satunya mengandungi cecair disyaki air ketum dianggarkan seberat 22.5 liter dan 10 bungkusan plastik hitam setiap satunya mengandungi daun-daun hijau disyaki daun ketum seberat 40 kilogram.

"Turut dirampas beberapa peralatan yang digunakan bagi memproses air ketum antaranya tong ais, periuk besar, besen, penapis besi dan alat penimbang," katanya.

Beliau berkata, semakan awal mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Suspek telah ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan: