Kes denggi meningkat di Perak

No Image Caption
A
A
A

TAIPING - Kes demam denggi di Perak meningkat sebanyak 208 kes atau 10.3 peratus bagi tempoh Januari hingga 7 September tahun ini berbanding 2,020 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) Perak, Dr Noraishah Mohd Noor berkata, dalam tempoh itu empat kes kematian dilaporkan berbanding lima kematian dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

"Empat kes kematian itu masing-masing satu kes di daerah Kinta, Manjung, Hilir Perak dan Batang Padang," katanya ketika berucap merasmikan Gotong-Royong Mega 2.0 peringkat negeri di Kampung Baru Aulong dekat sini hari ini.

Kira-kira 400 orang membabitkan pelbagai agensi dan Pertubuhan Peladang Bukan Kerajaan menyertai gotong-royong tersebut dengan tujuan membasmi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Dr Noraishah berkata, pemilihan Kampung Baru Aulong dibuat kerana ia mencatatkan 44 kes demam denggi dalam tempoh 15 Julai hingga 28 Ogos tahun ini.

Beliau turut meminta penduduk setempat bekerjasama bagi memastikan demam denggi dapat dikawal dengan harapan tempat tinggal selamat daripada pembiakan nyamuk aedes. - Bernama

Artikel Berkaitan: