Afghanistan tangguh pilihan raya presiden Julai 2019

Pihak IEC juga memerlukan lebih masa untuk merekrut staf, melatih mereka menggunakan alat pengesahan biometrik.
Pihak IEC juga memerlukan lebih masa untuk merekrut staf, melatih mereka menggunakan alat pengesahan biometrik.
A
A
A

KABUL - AFGHANISTAN. Pilihan raya presiden Afghanistan ditangguhkan sehingga 20 Julai tahun depan ketika usaha Amerika Syarikat (AS) menamatkan peperangan dengan Taliban masih samar.

Penangguhan selama tiga bulan itu dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas (IEC), beberapa minggu selepas spekulasi mengatakan tarikh pengundian akan ditunda untuk memberi ruang kepada rundingan damai dengan Taliban.

Pilihan raya itu sepatutnya berlangsung pada 20 April walaupun ramai pemerhati menyifatkan tarikh itu tidak realistik ekoran pilihan raya umum berdarah pada Oktober lalu.

Pengarah IEC Abdul Badi Sayyad berkata pilihan raya majlis daerah dan wilayah, selain pilihan raya Parlimen yang tertangguh di wilayah Ghazni, akan diadakan pada hari yang sama.

Antara alasan rasmi penangguhan itu termasuk cuaca sejuk yang melanda seluruh Afghanistan pada April, kos perbelanjaan menangguhkan empat pilihan raya secara berasingan dan kerumitan mengerahkan pasukan keselamatan bagi melindungi pusat pengundian.

Pihak IEC juga memerlukan lebih masa untuk merekrut staf, melatih mereka menggunakan alat pengesahan biometrik dan menyelesaikan beberapa isu yang berlaku di kawasan pengundian.

Sayyad berkata tarikh baharu dan keputusan untuk mengadakan empat pilihan raya itu pada hari yang sama dicapai selepas berbincang secara terperinci dengan pemimpin politik, agensi keselamatan dan kerajaan.

Pengumuman IEC itu dibuat pada waktu sensitif buat Afghanistan ketika Taliban meningkatkan serangan berdarah dan Presiden AS Donald Trump mahu mengurangkan jumlah tentera di negara itu.

Artikel Berkaitan:

Tiada pengumuman rasmi tentang pengunduran tentera AS tetapi terdapat khabar mengatakan Washington mahu mengurangkan jumlah tentera di ibu negara Afghanistan ekoran kebimbangan lebih banyak keganasan berlaku pada 2019. - AFP