Himpunan Penyatuan Ummah sejarah penting buat rakyat

 Abdul Khalid
Abdul Khalid
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan Himpunan Penyatuan Ummah yang berlangsung semalam sebagai satu lakaran sejarah terpenting buat rakyat negara ini.

Beliau berkata, ia sekali gus dijangka mengubah landskap politik dan diharapkan menyemarakkan lagi sistem demokrasi dalam negara.

Menurutnya, himpunan semalam yang turut memeterai Piagam Muafakat Nasional menyaksikan dua parti politik terbesar serta matang bergabung tenaga untuk memelihara kedudukan Islam, Melayu dan bumiputera seperti yang tertera di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Saya terharu dan berterima kasih kepada kedua-dua pemimpin Pas dan UMNO, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memilih untuk mengenepikan perbezaan serta menamatkan persengketaan politik lebih 40 tahun lamanya.

"Permuafakatan dan kerjasama ini tercapai bukan dengan hubungan serta usaha sehari dua tetapi saya percaya ia dijalin, dicerna dan dipupuk sekian lama oleh kedua-dua pihak dan pemimpin pada setiap peringkat," katanya menerusi status dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

Abdul Khalid berkata, beliau yakin kerjasama dijalin dan muafakat dibentuk demi pembangunan masyarakat Malaysia yang mampan serta meningkatkan tadbir urus yang lebih baik dan telus.

Tegasnya, melihat perkembangan mutakhir negara, kedua-dua pihak tidak boleh lagi membuang masa dengan mencari kesalahan dan perbezaan masing-masing tetapi terus meraikan kebersamaan.

"Kestabilan politik ummah di Malaysia akan mempercepatkan agenda memelihara kebajikan rakyat melalui usaha yang diredai ALLAH SWT.

Artikel Berkaitan:

"Pengalaman yang lalu bolehlah dijadikan teladan dalam membina tatacara baharu bersama untuk memastikan rakyat mendapat keadilan dan terbela. Sokongan luar biasa membuktikan rakyat memang mendambakan wadah sebegini.

"Semoga ALLAH SWT memberkati segala usaha yang kita lakukan dan kepada-Nya jua kita berserah," katanya.