Perbalahan UMNO, Pas temui titik noktah

Dr Azman Ibrahim
Dr Azman Ibrahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Perbalahan antara dua parti besar Melayu, UMNO dan Pas menemui titik noktah dengan termeterainya Piagam Muafakat Nasional semalam yang menandakan bermulanya kerjasama dan permuafakatan secara rasmi antara dua parti itu.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, langkah diambil itu jelas menunjukkan hala tuju yang perlu dicapai demi agama dan bangsa mengatasi permusuhan dan perbezaan pendapat yang terjadi selama ini.

“Sejarah ini amat panjang untuk diimbas. Berpuluh tahun kita saling berselisih pendapat, menghina, merendahkan, mendiskriminasikan dan menzalimi sehingga membawa kepada pertembungan kekerasan secara fizikal yang menatijahkan kita umat Melayu Islam lemah dan berpecah.

“Ada masa kita berbalah, tetapi bukan untuk sepanjang masa. Kita adik beradik yang sebangsa dan seagama. Sejarah lalu menjadi pengajaran sehingga akhirnya kita hilang maruah dan harga diri serta dipermainkan di bumi sendiri,” katanya menerusi kenyataan di akaun Facebook miliknya semalam.

Beliau berkata, cabaran besar yang perlu dihadapi selepas termeterainya kerjasama itu ialah untuk merealisasikan Piagam Ta’awun di peringkat lapangan.

"Ada luka lama yang perlu diubati. Ada yang terbiar perlu disantuni. Ada keputusan lama yang perlu diperhalusi. Ada yang jauh perlu didekati. Ada yang terasa hati perlu dikunjungi. Ada hak yang dinafi perlu di kembalikan.

“Semua ini ialah cabaran. Hari ini (semalam) kita mencipta sejarah. Biarlah semua yang hadir menjadi saksi,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pemeteraian piagam yang ditandatangani Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu mencipta sejarah baharu dan menyentuh hati kebanyakan orang yang hadir.

Artikel Berkaitan:

“Saya lihat ramai yang mengesat air mata ketika Piagam Muafakat Nasional ditandatangani oleh Presiden Pas dan UMNO.

“Ada suatu kesan yang mendalam sukar diungkap dengan bait-bait tulisan atau kata-kata untuk mentafsirkan kenapa banyak air mata tumpah di Dewan Merdeka hari ini (semalam),” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Tangisan ‘raikan’ penyatuan UMNO-Pas