Tragedi Memali bukan perkara kecil: Khalid

Khalid ketika ditemui pada Festival Permainan Malaysia @Kuala Lumpur di Dataran Merdeka di sini hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - "Hanya orang yang tidak berhati perut akan mengatakan tragedi Memali adalah perkara kecil," kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad.

Menteri Wilayah Persekutuan itu kesal dengan kenyataan segelintir pemimpin yang memperlekeh peristiwa berdarah berkenaan.

"Orang mati, macam mana kamu boleh kata ini isu kecil. Adakah kita boleh terima hal libatkan nyawa orang ini sebagai mainan politik?

"Janganlah dalam kita nak berbaik-baik, kita perlekeh apa yang berlaku dan anggap ini perkara yang kecil," katanya ketika ditemui pada Festival Permainan Malaysia @Kuala Lumpur di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menagih janji Khalid supaya membawa cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat peristiwa Memali.

Khalid mencuba permainan baling tin pada Festival Permainan Malaysia @Kuala Lumpur di Dataran Merdeka hari ini.
Khalid mencuba permainan baling tin pada Festival Permainan Malaysia @Kuala Lumpur di Dataran Merdeka hari ini.

Khalid berkata, walaupun beliau tidak membawa isu Mamali di Kabinet, itu tidak bermakna pihaknya menganggap isu tersebut sebagai perkara kecil.

"Dialah (Najib) yang bawa, kenapa saya yang perlu bawa? Ini Pas punya isu, mereka yang keluarkan kenyataan, kami tak keluarkan apa-apa kenyataan.

"Kita tak nak timbulkan isu Memali, tapi bila dah ditimbulkan, jangan cakap ia perkara kecil. Banyak pengajaran yang boleh diperoleh daripada peristiwa itu. Kita tak nak tragedi sama berulang, bila cakap benda kecil maka kita boleh buat lagi, tak boleh nak cakap macam itu," katanya.

Najib dalam hantaran di akaun Facebook miliknya Jumaat lalu mendakwa Khalid pernah berjanji menubuhkan RCI untuk tragedi Memali sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang.

Bekas perdana menteri itu turut menyarankan supaya Khalid bertanya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai peristiwa itu jika mahu mencari kebenaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Memali bukan lagi isu besar, kata Pas

Terdahulu Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pada sidang media sempena Himpunan Perpaduan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Jumaat lalu berkata, Pas menganggap peristiwa Memali sebagai kecil berbanding agenda perpaduan melibatkan dua parti Melayu Pas dan UMNO.