Jerebu: Tiada peningkatan luar biasa penyakit direkodkan

Dr Dzulkefly (kanan) dan Guan Eng (tiga dari kiri) yang juga Ahli Parlimen Bagan memerhatikan seorang jururawat memeriksa kesihatan Ramlah Hamid, 70, di Kampung Sungai Nyior hari ini. - Foto: Bernama
Dr Dzulkefly (kanan) dan Guan Eng (tiga dari kiri) yang juga Ahli Parlimen Bagan memerhatikan seorang jururawat memeriksa kesihatan Ramlah Hamid, 70, di Kampung Sungai Nyior hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

BUTTERWORTH - Tiada sebarang peningkatan luar biasa bagi penyakit yang berpunca daripada gejala jerebu direkodkan sepanjang negara dilanda musim jerebu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) giat memantau penyakit-penyakit yang mudah dialami oleh seseorang individu disebabkan oleh jerebu iaitu asma, sakit mata dan jangkitan pernafasan.

"KKM memantau penyakit yang berkaitan dengan gejala akibat jerebu di klinik-klinik terpilih. Kita telah mula memantau sejak minggu ke-33 sehingga berlakunya episod jerebu di negara ini pada 5 September lalu dan pemantauan itu berterusan sehingga kini.

"Sehingga kini sudah empat minggu pemantauan dijalankan, setakat ini data kajian yang diperolehi penyakit yang disebabkan oleh jerebu ini menunjukkan tidak ada kehadiran (pesakit) dalam jumlah yang luar biasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Bagan dan Gotong Royong Mega 2.0 Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Program itu turut dihadiri oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Dr Dzulkefly berkata, pada ketika ini situasi penyakit denggi mengalami peningkatan ketara pada tahun ini malah bukan Malaysia sahaja yang mencatatkan peningkatan penyakit itu ianya turut dihadapi oleh negara-negara lain.

"Pemantauan oleh KKM mendapati kes dan kematian demam denggi menunjukkan peningkatan ketara pada tahun ini. Secara kumulatif, kes yang dilaporkan dari Januari hingga 7 September lalu sebanyak 93,344 kes dicatatkan berbanding 51,337 kes bagi tempoh sama pada tahun 2018 iaitu peningkatan sebanyak 81.8 peratus (42,007 kes)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Dzulkefly (dua dari kiri) dan Guan Eng (tiga dari kiri) melakukan gotong-royong membersihkan kawasan Taman Bagan Baru selepas majlis pelancaran Program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Bagan dan Gotong-royong Mega 2.0 Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan 2019 hari ini. Foto: Bernama
Dr Dzulkefly (dua dari kiri) dan Guan Eng (tiga dari kiri) melakukan gotong-royong membersihkan kawasan Taman Bagan Baru selepas majlis pelancaran Program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Bagan dan Gotong-royong Mega 2.0 Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan 2019 hari ini. Foto: Bernama

Beliau berkata, sebanyak 137 kematian direkodkan sehingga kini berbanding hanya 81 kematian bagi tempoh sama pada tahun 2018 dengan peningkatan sebanyak 56 kematian (69.1 peratus).

Sementara itu ketika ditanya mengenai kes seorang lelaki yang didakwa menyerang bekas isteri dan bapa mertua yang tular di media sosial hingga cedera di kepala, Dr Dzulkefly berkata, perkara itu masih dalam siasatan berhubung dakwaan lelaki terbabit merupakan seorang doktor.

Terdahulu dalam ucapannya pada program Kampungku Sihat, Dr Dzulkefly berkata, ia merupakan langkah kementerian untuk memberikan penekanan kepada umum tentang masalah kesihatan awam terkini iaitu penyakit tidak berjangkit (NCD) serta denggi dengan penglibatan secara langsung pihak pengurusan tertinggi kementerian kesihatan dan pemimpin masyarakat dalam memberikan mesej kesihatan yang berkaitan.

"Penyakit NCD di Malaysia ketika ini masih menunjukkan peningkatan di sebalik promosi dan pendidikan kesihatan yang diberikan. Tinjauan Kesihatan dan Mobiliti Kebangsaan 2015 melaporkan satu antara dua rakyat Malaysia dewasa mengalami masalah kegemukan, satu antara tiga orang menghidap hipertensi dan satu antara lima orang menghidap diabetes.

"Perlu diberi ingatan, 50 peratus dari kes diabetes dan hipertensi ini adalah "undiagnosed" di mana pesakit tidak tahu yang mereka berpenyakit, tidak mengambil sebarang rawatan dan lebih teruk lagi masih meneruskan amalan gaya hidup tidak sihat. Akibatnya penyakit mereka akan bertambah serius dan akhirnya mendapat komplikasi seperti sakit buah pinggang, kebutaan dan meningkatkan risiko serangan jantung," katanya. - Bernama