AS sahkan anak Osama Laden terbunuh

Hamza Laden (kiri) dilaporkan meninggal dunia dalam serangan keganasan AS.
Hamza Laden (kiri) dilaporkan meninggal dunia dalam serangan keganasan AS.
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan anak lelaki pemimpin al-Qaeda, Osama Laden terbunuh dalam operasi keganasan negara itu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Rumah Putih semalam, Trump berkata, Hamza Laden bertanggungjawab dalam merancang dan mengendalikan pelbagai kumpulan pengganas.

"Hamza Laden, anggota al-Qaeda dan anak lelaki Osama Laden terbunuh dalam operasi keganasan AS di wilayah Afghanistan-Pakistan.

"Kehilangan Hamza bukan sahaja menafikan kemahiran kepimpinan al-Qaeda tetapi juga menjejaskan operasi penting kumpulan itu," jelas Trump.

Kenyataan tersebut bagaimanapun tidak menyatakan masa operasi dijalankan, namun ia dibuat lebih enam minggu selepas beberapa media AS memetik pegawai risikan melaporkan Hamza telah meninggal dunia dalam serangan udara.

Sehingga kini, al-Qaeda tidak membuat sebarang pengesahan meskipun ia melibatkan pemimpinnya.

Februari lalu, kerajaan AS menawarkan AS$1 juta (RM4.16 juta) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan Hamza.

Hamza dilabel pengganas global sejak dua tahun lalu dan dilihat sebagai pengganti berpotensi untuk menggantikan bapanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), kali terakhir Hamza mengeluarkan kenyataan terbuka adalah pada Mac tahun lalu ketika menggesa monarki Arab Saudi digulingkan.

Sebelum itu, Hamza mengedarkan mesej audio mengugut akan membalas dendam terhadap tindakan AS membunuh bapanya selain berjanji meneruskan perjuangan al-Qaeda. - Agensi

ARTIKEL BERKAITAN: Anak lelaki Osama, Hamza dilapor meninggal dunia