Jerebu: Pembenihan awan bermula esok

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Proses pembenihan awan bagi mengurangkan keadaan jerebu telah dijadualkan esok di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Timbalan Menterinya, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, proses itu lebih menumpukan perhatian kepada Selangor dan Johor yang masih mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi.

“Untuk pembenihan awan di Selangor esok, pesawat akan berlepas dari lapangan terbang Subang (Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang) dengan kerjasama TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) dan Jabatan Meteorologi Malaysia.

"Operasi ini akan dimulakan dengan taklimat pada jam 8.30 pagi dan pembenihan awan akan dimulakan pada jam 11 pagi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas bersama-sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow untuk merasmikan Program Larian Warisan 110 anjuran Jabatan Kimia Malaysia di Padang Kota Lama di sini.

Acara sempena menyambut 110 tahun penubuhan jabatan itu turut disertai Ketua Pengarah Kimia Malaysia Mohamed Zaini Abdul Rahman melibatkan 1,115 orang peserta dari seluruh negara.

Isnaraissah berkata, pembenihan awan yang dijalankan di Sarawak Khamis lalu telah berjaya menurunkan bacaan IPU di negeri itu selepas menjadi negeri yang paling terjejas akibat jerebu daripada kebakaran terbuka yang berlaku di Kalimantan.

“Pembenihan awan hanya akan dapat dilakukan sekiranya keadaan atmosfera dan awan yang sesuai. Mudah-mudahan esok keadaan lebih membantu supaya proses pembenihan awan lebih efektif untuk dijalankan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain punca pembakaran terbuka di Kalimantan, data ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) juga menunjukkan keadaan jerebu di Semenanjung Malaysia adalah ekoran pembakaran terbuka di Sumatera.

Katanya, Malaysia menerusi Menteri MESTECC, Yeo Bee Yin sudah menawarkan bantuan kepada Indonesia untuk memadam kebakaran di negara itu tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas.

“Paling penting kita perlu fokus kepada sumber yang betul-betul menyebabkan jerebu. Kalau buat (pembenihan awan) di tempat kita (Malaysia), ianya hanya boleh mengurangkan jerebu untuk sekejap sahaja, nanti asap datang lagi,” katanya. - Bernama