Kes lelaki serang bekas isteri rujuk Timbalan Pendakwa Raya

Kertas siasatan 95 peratus lengkap

460609
460609
A
A
A

SHAH ALAM - Kes lelaki yang didakwa menyerang bekas isteri dan bapa mentua kini sudah di peringkat akhir siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) minggu depan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, polis selesai mengambil keterangan pengadu dan juga suspek selepas menerima laporan pada 4 September lalu.

"Kertas siasatan kes sudah 95 peratus lengkap cuma kita masih menunggu laporan perubatan suspek daripada pihak hospital.

"Kita jangkakan laporan perubatan itu akan diperoleh dalam masa terdekat sebelum kertas siasatan dilengkapkan untuk dirujuk kepada DPP minggu depan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, laporan perubatan suspek juga penting walaupun siasatan kes dijalankan menjurus kepada Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

"Selepas insiden serang itu suspek ditahan beberapa hari di hospital dipercayai akibat tekanan selain dimaklumkan mempunyai rekod berkaitan masalah kemurungan," katanya.

Menurutnya, polis menahan suspek untuk membantu siasatan pada 9 September tetapi dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.

Shafa'aton berkata, pihaknya perlu mendapatkan laporan perubatan rasmi dari hospital bagi memperoleh siasatan yang seimbang bagi kedua belah pihak.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, beberapa gambar tular di media sosial menunjukkan mangsa dan bapanya mengalami kecederaan di kepala dan muka akibat diserang suspek yang tidak berpuas hati dengan kemelut rumah tangga mereka.

Gambar terbabit dikongsi oleh bekas isteri suspek di Facebook bagi mendapatkan keadilan kerana mendakwa beberapa laporan sudah dibuat sebelum ini namun tiada tindakan diambil.