Usah gugat perpaduan rakyat: Wan Azizah

Dr Wan Azizah - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan membenarkan rakyat dan negara ini diganggu gugat oleh kelompok yang cuba menghasut serta mengadu domba supaya negara berpecah-belah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah dalam perutusan bersempena Hari Malaysia menegaskan, kerajaan akan melakukan apa sahaja yang terbaik agar perpaduan sesama rakyat Malaysia semakin mantap dan kukuh.

Menurutnya, seperti generasi terdahulu, Malaysia kini juga menghadapi cabaran getir dan rumit antaranya cabaran perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang budaya dan agama.

"Akan sentiasa terdapat golongan pelampau yang suka mengapi-apikan isu perkauman untuk kepentingan tertentu. Ada juga kelompok yang cuba menghasut dan mengadu domba supaya negara kita berpecah-belah.

"Kita tidak akan membiarkan rakyat dan negara ini diganggu-gugat. Keutuhan Malaysia sebagai sebuah negara adalah keutamaan tertinggi bagi kerajaan,” katanya.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, segala kelemahan dan kesilapan akan diperbaiki dan beliau mengajak rakyat bersama-sama membina serta mengangkat negara supaya kemakmuran terus dinikmati semua.

"Inilah Malaysia, tanah tumpah darah kita bersama. Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih," katanya. - Bernama