Pengantin baharu terharu disapa Agong, Permaisuri

Foto perkahwinan pasangan pengantin baharu itu berseri dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.
Foto perkahwinan pasangan pengantin baharu itu berseri dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.
A
A
A

KUANTAN - Sepasang pengantin baharu tidak menyangka sesi penggambaran foto perkahwinan mereka di sebuah rumah lama di Sungai Lembing bakal menjadi detik bersejarah dan terindah.

Pasangan itu yang sedang bergaya merakam foto dihampiri pasangan Diraja, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda berdua mencemar duli melawat lokasi rumah lama itu sebaik selesai lawatan kerja ke lokasi kebakaran di Pekan Sungai Lembing, petang semalam.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan menyapa pasangan pengantin, Muhammad Hazri Hussain, 20, dan Nurain Aqilah Rosmanniwanda, 20, sebelum mempelawa mereka untuk bergambar bersama.

Menurut Muhammad Hazri, dia menyedari ada beberapa kenderaan bergerak perlahan melalui kawasan berkenaan.

"Ketika itu jam 3.30 petang. Kami sedang mengambil gambar perkahwinan. Nampak ada kereta berhenti dan seakan tidak percaya itu adalah Tuanku Agong.

"Baginda menghampiri kami dan bertanya khabar sebelum pelawa untuk kami bergambar bersama.

"Saya dan isteri rasa sangat terharu kerana baginda sudi menyapa kami. Ini kali pertama kami lihat Baginda secara berdepan kerana biasa tengok di televisyen atau media sosial," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Hazri berkata, dia dan isteri diijabkabulkan pada 3 Ogos lalu di Nilai manakala majlis menyambut tetamu berlangsung di Kampung Kolek, Sungai Lembing semalam.

Foto: Datuk Azuan Effendy
Foto: Datuk Azuan Effendy

Menurutnya, baginda turut mengurniakan sejumlah wang dan akan digunakan untuk perbelanjaan memulakan kehidupan berumah tangga.

"Saya hanya pekerja biasa di syarikat telco dan isteri bekerja kilang. Rezeki yang diterima akan digunakan sebaik mungkin," katanya.

Sementara itu menurut Facebook Portal Diraja Pahang, Yang di-Pertuan Agong turut berkongsi keseronokan menemui rakyat di sekitar Sungai Lembing.

"Terjumpa pengantin baru tadi kat bangunan lama di Pekan Sungai Lembing. Dapat bergambar dengan kita.

"Dapat singgah warung kuih buah hulu dan dapat minum petang di warung," titah baginda menerusi hantaran WhatsApps kepada Pengarang Portal Diraja Pahang.