X

Kindly register in order to view this article
!

Pertahanan kurang disiplin punca gagal kutip 3 mata penuh: Sathianathan

Pemain Melaka Jang Sukwon (depan, kanan) cuba mengejar bola dari pemain Selangor Mohd Khyril Muhymeen Zambri (depan, kiri) pada perlawanan Piala Malaysia 2019 antara pasukan Selangor bertemu pasukan Melaka di Stadium Shah Alam malam tadi. Foto: Bernama
A
A

SHAH ALAM - Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan mengakui barisan pertahanan kurang berdisiplin punca seri 1-1 bertemu Melaka dalam saingan Piala Malaysia Kumpulan D di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Beliau berkata walaupun kehilangan beberapa tonggak utama akibat kecederaan, anak buahnya bermain dengan baik pada separuh masa pertama namun membiarkan Melaka bangkit pada babak kedua.

"Memang agak kecewa kita tak menang pada malam ini (malam tadi) dengan kehilangan beberapa tonggak utama, saya terpaksa membawa masuk Abdul Halim Saari walaupun beliau belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

"Sasaran saya untuk Selangor layak ke suku akhir sudah cukup kerana saya tahu pada peringkat itu kesemua pasukan yang layak adalah pasukan yang kuat tetapi saya akan tetap memberi fokus untuk mendapatkan kemenangan bagi perlawanan seterusnya bertemu Felda United," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu di sini.

Sathianathan juga berharap Sandro da Silva dan Syazwan Zainon kembali memperkuatkan jentera pasukan bagi misi memburu tiga mata penuh di Stadium Tun Abdul Razak dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Dalam pada itu, pengendali Melaka Zainal Abidin Hassan berkata perubahan taktikal pada separuh masa kedua berjaya menghasilkan gol penyamaan.

"Selepas gol penyamaan dihasilkan kita terus cuba mendapatkan gol kemenangan namun gagal tetapi bagi saya satu mata sudah berbaloi dan untuk perlawanan seterusnya di tempat sendiri, kita perlu mendapatkan kemenangan," katanya.

Pada perlawanan itu, Selangor terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan menerusi Mohd Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-37 sebelum Melaka mendapatkan gol penyamaan hasil rembatan leret Saiful Ridzuwan Selamat pada minit ke-48.- Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!