Ramaikan lagi Chong Wei

A
A
A

SIAPA tidak kenal Datuk Lee Chong Wei. Beliau bukan sahaja legenda sukan badminton, malah beliau juga merupakan ikon dan lambang perpaduan rakyat Malaysia. Anak kelahiran Pulau Pinang itu baru sahaja mengumumkan persaraannya pada pertengahan tahun ini setelah merangkul 69 kejuaraan termasuk 47 gelaran juara Siri Super.

Sepanjang 19 tahun sebagai pemain badminton negara, Chong Wei muncul juara All England sebanyak empat kali pada 2010, 2011, 2014 dan 2017 dan naib juara Kejohanan Dunia sebanyak tiga kali pada 2011, 2013 dan 2015. Beliau juga muncul juara Terbuka Malaysia sebanyak 12 kali, Terbuka Indonesia sebanyak enam kali dan Terbuka Jepun sebanyak lima kali.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-62 baru-baru ini, Chong Wei telah menzahirkan perasaan kecewa beliau melalui laman media sosial Facebook. Beliau sedih melihat tulisan-tulisan kesat yang semakin banyak dalam media sosial, kebanyakannya berkisar isu perkauman. Ada dalam kalangan netizen berbalas kata-kata kesat hanya disebabkan isu remeh.

Jaguh badminton negara itu mengimbau keadaan getir semasa beliau menentang Lin Dan dalam perlawanan akhir Terbuka Malaysia 2006. Suatu ketika, beliau sedang ketinggalan tujuh mata pada kedudukan 13-20. Hanya satu mata untuk Lin Dan mengalahkan Chong Wei dalam set penentuan itu.

Bagaimanapun, sokongan rakyat Malaysia pelbagai kaum telah berjaya menaikkan semangat Chong Wei untuk terus bangkit melawan Lin Dan dan beliau telah mendapat tujuh mata berturut-turut untuk mengikat pemenang Olimpik sebanyak dua kali itu pada kedudukan 20-20 sebelum memenangi perlawanan dengan 23-21 bagi menjulang kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut. Perjuangan Chong Wei dengan sokongan padu rakyat Malaysia ketika itu telah menjadikan kejuaraan Terbuka Malaysia 2006 milik Malaysia.

Saya kagum dengan semangat Chong Wei. Beliau menyarankan seluruh rakyat Malaysia untuk menyebarkan kasih sayang, bukannya kebencian. Menurut beliau, jangan biarkan isu-isu kecil seperti Dong Zhong dan khat Jawi memisahkan kita.

Jangan hanya disebabkan segelintir orang yang menyebarkan kebencian perkauman, kita semua kalah. Jangan biarkan anasir jahat yang dikaitkan dengan Cina, India mahupun Melayu mengalahkan negara dan rakyat kita. Tambahnya lagi, rakyat Malaysia adalah lebih besar daripada ini.

Dalam masa 24 jam sahaja, kenyataan Chong Wei telah dikongsi oleh 38,000 orang dan mendapat 5,400 komen serta 105,000 tanda suka. Tulisan beliau telah membangkitkan semangat patriotisme rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi ketika sambutan Hari Kemerdekaan. Rata-rata netizen menyokong kenyataan Chong Wei. Kita memerlukan lebih ramai orang seperti Chong Wei agar Malaysia menjadi negara yang lebih aman untuk didiami.

Artikel Berkaitan:

Suatu ketika dahulu, dalam pasukan bola sepak negara, Soh Chin Aun ialah kapten, Mokhtar Dahari penjaring gol, Santokh Singh di bahagian pertahanan manakala R Arumugam merupakan penjaga gol. Mereka yang terdiri daripada Cina, Melayu, Sikh dan India bekerja dan berjuang dalam satu pasukan demi kejayaan negara. Tiada masalah berbeza kaum atau bahasa pun.

Tetapi sekarang sangat banyak isu yang ditimbulkan yang mengeruhkan perpaduan dan keharmonian kaum di negara kita. Sebagai contoh, isu kemalangan jalan raya serta pergaduhan antara dua manusia, juga dikaitkan dengan isu perkauman. Netizen gemar menggunakan perkataan Cina bunuh Melayu atau India hina Melayu sedangkan perbuatan seseorang itu tidak mewakili kaum atau komuniti tersebut.

Rakyat Malaysia juga diharap dapat menyelidik terlebih dahulu sesuatu berita atau perkara sebelum memberikan pendapat atau menularkannya. Pastikan berita itu daripada media arus perdana, bukannya daripada mana-mana blog yang tidak dapat dipastikan kesahihannya; lebih-lebih lagi apabila tiada nama penulis atau wartawan yang tercatat tetapi hanya perkataan admin.

Sekiranya seseorang penulis itu sendiri tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa yang ditulisnya, kenapa ada yang masih mahu menyebarkan khabar angin yang ditimbulkan?

Kita sebagai rakyat Malaysia perlu menyayangi negara kita dengan mengekalkan keamanan dan keharmonian yang dikecapi selama ini. Semoga negara kita akan terus harmoni dan sentosa. Selamat menyambut Hari Malaysia.