Mempertahankan keabsahan fatwa

A
A
A

PELBAGAI pihak sering lantang mempertikaikan keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ataupun fatwa yang dibuat Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri. Malah fatwa tertentu juga sering dicemuh dan diperlekehkan. Malah apabila fatwa telah dikeluarkan ia juga dicabar.

Terkini penghakiman terbaru Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Sister In Islam (SIS) Forum Berhad melawan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mengesahkan fatwa yang dibuat terhadap SIS Forum Berhad tidak bercanggah dengan mana-mana undang-undang negara.

Pelbagai pihak termasuk institusi, orang perseorangan sama ada Islam ataupun bukan Islam telah memperkatakan tentang keputusan itu. Keputusan itu sebenarnya adalah kesinambungan usaha mencabar Jawatankuasa Fatwa dan institusi Islam yang lain walaupun setelah Mahkamah Persekutuan membuat penghakiman bahawa institusi fatwa adalah sah di sisi Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini dalam kes Sulaiman Takrib melawan Kerajaan Negeri Terengganu dan Kahar Ahmad melawan Kerajaan Negeri Selangor dan dua lagi. Keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi dalam negara ini telah menjelaskan kedudukan fatwa di Malaysia dan tidak perlu dipertikaikan lagi selepas itu.

Bagi orang bukan Islam, hormatilah institusi agama Islam kerana ia adalah badan yang sah di sisi undang-undang. Sebagaimana orang bukan Islam tidak mahu orang Islam mengganggu agama mereka, mereka juga hendaklah tidak mengganggu agama Islam apatah lagi badan tersebut ditubuhkan atas lunas yang sah dan diiktiraf oleh undang-undang. Institusi Fatwa bukanlah ditubuhkan setelah merdeka tetapi telah lama wujud walaupun sebelum zaman penjajahan lagi dan selama ini fatwa telah berjaya memberi panduan kepada orang Islam mengamalkan agama mereka. Orang bukan Islam tiada hak mempersoalkan perkara dalaman agama Islam ini. Apatah lagi Islam adalah agama Persekutuan dan diberikan kedudukan yang istimewa dalam Perlembagaan.

Begitu juga halnya dengan orang Islam. Perdalamkanlah ilmu agama sebelum membuat sesuatu kenyataan. Orang yang tidak berkelayakan dalam bidang agama tidak harus mempertikaikan fatwa yang sah dibuat mengikut lunas-lunas agama dan undang-undang negara. Kajian terperinci

Dalam membuat sesuatu fatwa, Jawatankuasa Fatwa membuat kajian terperinci terlebih dahulu. Suatu kertas cadangan dibuat dan dikaji oleh tokoh agama dan golongan profesional seringkali dipanggil untuk membantu Jawatankuasa Fatwa mengeluarkan fatwa.

Dalam masa sama persoalan yang ditimbulkan itu seolah-olah menggambarkan Jawatankuasa Fatwa hanya membuat ketetapan mengenai hal yang remeh-temeh. Buatlah kajian terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu kenyataan. Sebenarnya Jawatankuasa Fatwa telah membuat pelbagai ketetapan yang merangkumi aspek perubatan, sosial, kesihatan, ekonomi dan juga pentadbiran. Ini jelas menunjukkan Jawatankuasa Fatwa telah menjalankan amanahnya dengan baik dan membincangkan permasalahan yang dihadapi oleh orang Islam.

Selama ini Jawatankuasa Fatwa telah berjaya menyelesaikan banyak permasalahan umat Islam di Malaysia. Memang tidak dinafikan terdapat perubahan fatwa dalam beberapa perkara yang telah diputuskan, tetapi ia bukanlah menunjukkan kejelekan anggota Jawatankuasa Fatwa berkenaan. Ia lebih merupakan manifestasi bahawa syariat Islam itu sesuai sepanjang zaman dan boleh disesuaikan mengikut keadaan semasa.

Artikel Berkaitan:

Walaupun Jawatankuasa Fatwa telah berjaya menyelesaikan banyak permasalahan umat Islam, namun ada juga golongan yang masih tidak sedar kejayaan ini dan mentertawakan sesuatu fatwa. Mereka mengambil contoh fatwa pengharaman rokok telah dikeluarkan beberapa tahun lepas tetapi masih ramai orang yang merokok. Dalam hal yang demikian adakah Jawatankuasa Fatwa patut berhenti membuat fatwa? Kita ambil perbandingan jika seorang doktor membedah seorang pesakit dan pesakit itu mati, adakah doktor perlu berhenti membedah pesakit? Tentulah jawapannya tidak, begitu juga dengan fatwa. Mufti tidak perlu berhenti mengeluarkan fatwa.

Institusi Fatwa ialah sebuah institusi yang bebas daripada pengaruh politik dan bertanggungjawab terus kepada Raja-Raja Melayu.