Berubah atau terus miskin

A
A

DI Malaysia, kita tidak tahu mengenai ladang padi. Kita menanam padi sejak turun-temurun secara kecil-kecilan sekadar untuk cukup makan.

Di Amerika Syarikat, Australia dan Itali mereka tidak tahu menanam padi secara kecil-kecilan. Mereka menanam padi di ladang yang luas terbentang sebagai kegiatan komersial.

Di Malaysia, penanam padi hanya kenal kemiskinan, beban hutang dan pergantungan kepada bantuan. Di Amerika, Australia dan Itali peladang padi kaya-raya.

Kali terakhir kita kecukupan beras adalah pada tahun 1989. Sejak itu jurang antara permintaan dengan bekalan meningkat tahun demi tahun kepada kira-kira 30 peratus sekarang.

Di Malaysia, hasil projek pengairan yang mula dibina pada tahun 1960-an, keluasan sawah dapat ditingkatkan melalui sistem penanaman dua kali setahun.

Perangkaan Lembaga Penyelidikan Pertanian Malaysia (Mardi) menganggarkan sekitar 650,000 hektar tanah ditanam dengan padi pada tahun lalu. Keluasan sebenar tidak banyak bertambah malah makin menurun akibat pindah guna tanah.

Bilangan pesawah di Malaysia dianggarkan lebih 172,000 manakala di Amerika hanya dalam ribuan orang, tetapi mengerjakan ladang seluas 1.3 juta hektar.

Malah kita kalah teruk dengan semua negara jiran yang mengeluarkan beras dalam semua aspek.

Satu kaedah bagi memperbaiki pengeluaran dan seterusnya pendapatan pesawah yang dibincangkan sejak zaman sebelum merdeka adalah dengan mengusahakan penanaman padi secara ladang.

Tetapi kita pun tahu sampai hari ini hampir-hampir tidak ada sebarang kemajuan malah keadaan menjadi semakin rumit.

Masalahnya adalah penanaman padi bukan sekadar mata pencarian, tetapi lebih daripada itu. Ia adalah sebahagian daripada sejarah dan tamadun, adat resam, politik dan eksploitasi golongan miskin.

Saya datang daripada latar belakang tersebut. Almarhum ayah saya mati sebagai penanam padi. Ibu saya yang kini berusia 93 tahun secara teorinya masih bersawah kerana dia tinggal bersama anaknya yang bersawah.

Tetapi keluarga kami berjaya melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan. Ayah saya menggunakan aset bendangnya untuk menyekolahkan kami.

Di penghujung usianya dia bangga bercerita yang semua anak-anaknya bersekolah, dia tidak ada hutang tetapi dia pun tidak ada tanah hatta sekangkang kera. Pada zaman selepas merdeka, beberapa percubaan telah dibuat di beberapa buah tempat untuk mewujudkan perladangan padi dengan menggunakan pelbagai kaedah dan alasan, tetapi tidak berjaya membebaskan petani daripada kemiskinan.

Sebenarnya apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan hal yang sama di Konvensyen Padi Kebangsaan di Kedah pada 10 September lalu, beliau amat faham implikasi.

Beliau sendiri pernah cuba mewujudkan ladang padi ketika menjadi Perdana Menteri kali pertama (1981-2003) iaitu di sebuah kampung di kawasan pilihan raya pertamanya, Pendang.

Beliau menjadi perancang dan mentor, tetapi projek itu berjalan hanya beberapa tahun kerana peserta tidak dapat menyesuaikan diri dengan kaedah baharu tersebut.

Percubaan juga dibuat di Perak di mana kerajaan membuka kawasan paya untuk dijadikan ladang padi dan menguruskannya sendiri, tetapi akhirnya gagal.

Penanaman padi yang berjaya umumnya diusahakan oleh orang perseorangan yang menyewa sawah petani dan menggabungkannya menjadi ladang. Itu pun tidak besar dan tidak lengkap kerana tidak ramai petani yang mahu menyewakan sawah mereka kepada orang lain.

Selalunya yang mengusahakan ladang ini ialah tauke Cina yang memiliki berbagai jenis jentera perladangan untuk disewakan kepada petani.

Namun saya juga mendapat maklum sudah terdapat orang Melayu berpendidikan yang mula menceburi bidang ini dengan menyewa tanah sawah petani dan menggabungkannya menjadi ladang.

Satu lagi kemungkinan yang boleh dilaksanakan adalah dengan menggalakkan petani memindahkan sawah mereka kepada tanaman lain yang boleh memberi hasil lebih tinggi dan cepat.

Dalam jangka masa panjang kita perlu betul-betul fikirkan semula sama ada meneruskan penanaman padi dengan kaedah sekarang dan sekali gus mengekalkan kemiskinan dalam kalangan penanam padi atau mengubahnya menjadi ladang dengan memperoleh pulangan lebih banyak.

Wallahuaklam.


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.