X

Kindly register in order to view this article
!

Belajar adat Melayu dalam kem

Kem Bahasa dan Budaya kali kelima ini mencipta sejarah apabila turut disertai pelajar daripada sekolah antarabangsa dan sekolah agama.
A
A

BIARPUN berbeza kaum dan agama serta berlainan latarbelakang, tetapi semuanya ini tidak menghalang peserta-peserta muda ini daripada mengenali secara dekat antara satu dengan lain.

Peserta-peserta yang menyertai Kem Bahasa dan Budaya ini adalah datang daripada pelajar-pelajar sekolah tinggi persendirian Cina, sekolah antarabangsa dan sekolah menegah agama swasta.

Selama tiga hari berada dalam kem yang diadakan di kawasan Sekolah Tinggi Peir Chun, Pontian, Johor itu, mereka telah memperoleh pengalaman yang amat berharga apabila dapat belajar nilai dan kekayaan yang ada pada warisan budaya Melayu.

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan termasuklah ceramah, belajar deklamasi puisi, belajar tarian joget dan kompang, persembahan drama di samping belajar membuat barang-barang hiasan majlis perkahwinan Melayu seperti menyediakan bunga telur dan bunga manggar.

‘Pasangan pengantin’ ini rasa teruja apabila mengenakan pakaian tradisonal Melayu ketika mempersembahkan acara ‘Majlis Perkahwinan Melayu’ yang dianjurkan dalam kem.
‘Pasangan pengantin’ ini rasa teruja apabila mengenakan pakaian tradisonal Melayu ketika mempersembahkan acara ‘Majlis Perkahwinan Melayu’ yang dianjurkan dalam kem.

Lebih menarik lagi apabila dua peserta dipilih sebagai ‘pasangan pengantin baharu’ untuk membolehkan semua peserta melihat sendiri adat tradisi majlis perkahwinan Melayu.

Selain 120 peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum, kem ini turut disertai seorang guru dari Kanada dan seorang pelajar dari Jepun.

Pihak penganjur, iaitu Pusat Kebudayaan Han Malaysia berharap penganjuran kem yang sudah memasuki tahun kelima ini akan memberikan semua peserta menimba pengetahuan berkaitan warisan budaya Melayu merangkumi seni kraftangan, tarian, bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Semasa majlis penutupan, Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia, Datuk Goh Hin San mendapati penganjuran kem kali yang kelima itu cukup istimewa berbanding dengan sebelumnya.“Ini ialah kerana pada kali ini,

selain disertai oleh peserta-peserta daripada sekolah persendirian Cina, ia turut menerima penyertaan daripada pelajar-pelajar sekolah agama dan sekolah antarabangsa.

“Apabila semua pelajar dengan latarbelakang dan aliran berbeza berkumpul dalam kem, ia pasti akan memudahkan mereka berkomunikasi serta memahami budaya masing-masing dengan dekat,” kata Goh.

Pelajar perempuan diberi peluang untuk mempersembahkan tarian joget setelah diajar dalam kem berkenaan.
Pelajar perempuan diberi peluang untuk mempersembahkan tarian joget setelah diajar dalam kem berkenaan.