X

Kindly register in order to view this article
!

Teruja lihat lakaran karikatur diri sendiri

Tengku Amir berkenan menandatangani karikatur memaparkan wajahnya.
A
A

SUNGAI BESAR - Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menandatangani karikatur bersaiz gergasi di Orang-Orang Art Cafe Parit 3 Timur di sini.

Pemilik Orang-Orang Art Cafe, Ruslan Ayob, 45, berkata, lakaran karikatur bersaiz empat kaki lebar dan lapan kaki tinggi memaparkan wajah baginda itu ditandatangani ketika berangkat menikmati santapan malam di kafe terbabit.

Ruslan yang dikenali sebagai Taugeh berkata, lukisan karikatur itu dihasilkannya sempena keberangkatan baginda pada Jelajah Daerah Sabak Bernam selama tiga hari bermula Rabu lalu.

"Saya mengambil masa selama empat hari menyiapkan gambar karikatur Tengku Amir dan gambar yang sungguh memberi makna istimewa ini dipamerkan dalam ruang legar kafe untuk tatapan pengunjung," katanya.

Taugeh berkata, gambar karikatur itu memaparkan Raja Muda Selangor itu sedang memegang belangkas sambil menikmati santapan di Orang-Orang Cafe.

"Selain itu, latar belakang potret karikatur itu juga menggambarkan suasana di kawasan sawah dan rakyat yang tidak sabar menanti kedatangan baginda," katanya.

Taugeh menyediakan santapan kepada Tengku Amir Shah.
Taugeh menyediakan santapan kepada Tengku Amir Shah.

Menurutnya, baginda dilihat terhibur apabila melihat gambar baginda dilakar dalam bentuk kartun.

"Malah tuanku juga membaca dialog yang ada pada latar belakang potret berkenaan," katanya.

Taugeh berkata, kunjungan baginda pada majlis santapan itu amat bermakna sejak melibatkan diri dalam perniagaan kedai makan sejak tujuh tahun lalu.

"Alhamdulillah saya dapat menyediakan menu santapan istimewa buat tuanku dan tetamu yang hadir.

"Semasa majlis santapan selama dua jam itu, baginda amat menggemari beberapa menu disediakan antaranya belangkas masak sambal telur, ketam nipah, sotong sumbat telur belangkas dan bunga teratai goreng tepung," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus