Belanjawan Pahang 2019 catat lebihan

Wan Rosdy (tiga, kanan) bersama barisan exco selepas pembentangan Belanjawan Pahang 2019 hari ini.
Wan Rosdy (tiga, kanan) bersama barisan exco selepas pembentangan Belanjawan Pahang 2019 hari ini.
A
A
A
KUANTAN - Belanjawan Pahang 2019 yang dibentangkan hari ini mencatat lebihan RM24.34 juta mengambil kira anggaran kutipan hasil RM703.8 juta dan jangkaan perbelanjaan mengurus RM679.46 juta.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bajet 2019 turut menyediakan peruntukkan pembangunan dengan anggaran RM98.05 juta dan jumlah itu agak kecil berbading bajet 2018, RM108.57 juta.

Menurutnya, bagi tahun 2019, kerajaan negeri menjangkakan kutipan hasil sebanyak 703.80 juta ringgit iaitu peningkatan RM3.16 juta atau 0.45 peratus berbanding anggaran tahun 2018.

“Jumlah itu dijangka diperolehi daripada hasil tanah dan galian sebanyak RM388.80 juta, hasil perhutanan RM150.70 juta, hasil air RM2.70 juta, geran kerajaan persekutuan RM115 juta dan lain-lain hasil RM46.60 juta.

“Kutipan hasil negeri dijangka mengalami peningkatan apabila kerajaan negeri menguatkuasakan kutipan cukai, premium dan hasil baharu bagi hasil tanah, hasil hutan dan duti hiburan.

“Bagi memperkukuhkan kutipan hasil, kerajaan negeri juga akan melaksanakan langkah-langkah yang lebih agresif untuk mengurangkan tunggakan dan ketirisan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2019 pada sidang Dun, hari ini.

Wan Rosdy berkata, daripada RM679.46 juta yang diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, RM315.33 juta untuk emolumen dan RM161.66 juta untuk perkhidmatan dan bekalan manakala RM191.38 juta untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap.

“Selain itu, RM7.61 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan lain dan RM3.48 juta untuk pembelian aset.

“Anggaran perbelanjaan mengurus untuk 2019 berkurangan RM20.58 juta atau tiga peratus berbanding 2018. Ini merupakan langkah kerajaan negeri dalam melaksanakan dasar penjimatan tetapi pada masa yang sama tidak mengabaikan kebajikan rakyat,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Beliau berkata, agihan bagi peruntukkan pembangunan tahun hadapan termasuk RM 63.75 juta akan digunakan untuk pembiayaan cara langsung manakala baki RM34.30 juta daripada pinjaman kerajaan persekutuan bagi membiayai projek bekalan air.

“Tumpuan peruntukan ini dikhususkan untuk projek-projek sambungan dan program-program sedia ada,” katanya.

Pada pembentangan itu, Wan Rosdy mengumumkan pemberian bantuan khas RM500 kepada 7,405 penjawat awam Gred 54 ke bawah.

Bagi tujuan pembayaran itu katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM3.7 juta yang akan dibayar pada Disember ini.

“Walaupun jumlah itu tidak seberapa, namun diharapkan ianya sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kewangan di kalangan penjawat awam,” katanya.