X

Kindly register in order to view this article
!

Stesen ECRL di Nilai bakal direalisasikan: MB

Gambar hiasan
A
A

SEREMBAN - Pembinaan stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Nilai akan direalisasikan sebagai stesen kedua di negeri ini selain Kuala Klawang, Jelebu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembinaan stesen tersebut memainkan peranan penting dalam membangunkan lagi pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) serta menjadi pendorong kepada pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

"Sebelum ini, kita dimaklumkan hanya ada satu stesen di Kuala Klawang, insya-ALLAH akan ada satu lagi di Nilai. Pastinya (pembinaan stesen ECRL) di Nilai akan mempunyai kaitan dengan pelan pembangunan MVV 2.0.

"Saya yakin jika ia direalisasikan, ia akan bantu kita percepatkan lagi pembangunan di MVV.

"Rancangan ini juga pastinya akan disambut baik terutama rakyat Negeri Sembilan selain memberi ruang kepada kita untuk terus membangun," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Jalinan Kasih Mesra MVV 2.0 bersama Komuniti Labu di sini hari ini.

Turut hadir, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Property Bhd, Datuk Wan Hashimi Albakri Wan Ahmad Amin Jaffri dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek.

Dalam pada itu Aminuddin berkata, perbincangan mengenai perkara tersebut akan diteruskan berhubung pilihan laluan rel berkenaan pada 18 September ini.

Sementara itu, Mohamad Rafie berkata, sehingga kini, sebanyak RM4.68 bilion jumlah pelaburan telah diterima bagi pembangunan MVV 2.0 melibatkan kawasan Seremban dan Port Dickson.

Katanya, pelaburan yang terbabit pada 2018, dengan nilai RM2.86 bilion dan juga yang didaftarkan pada tahun ini sekitar RM2 bilion adalah untuk kawasan MVV 2.0.

“Tanah kawasan perindustrian di Negeri Sembilan semakin mencapai kapasiti maksimum, jadi keperluan kita sekarang adalah membuka kawasan industri perusahaan baharu termasuk merangkumi kawasan Parcel A membabitkan keluasan 1,148 hektar.

"Parcel A ini, akan ada pelaburan baharu berjumlah RM310 juta. Ini dalam memastikan infrastruktur di kawasan terbabit dilengkapkan dalam usaha kita menarik lebih ramai pelabur," katanya.

Pada 26 Ogos lalu, media melaporkan Nilai kini menjadi satu daripada stesen yang sedang dipertimbangkan untuk projek ECRL di Negeri Sembilan, selain Kuala Klawang di Jelebu.

Aminuddin dipetik sebagai berkata, perkara itu dimaklumkan selepas kerajaan negeri mengadakan pertemuan bersama Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) pada 8 Ogos lepas yang turut membentangkan pilihan laluan ECRL terkini merangkumi dua stesen di Negeri Sembilan iaitu Kuala Klawang dan Nilai. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus