'Baguslah dua Muslim bermusuhan ingin berbaik'

Dr Mohd Asri
Dr Mohd Asri
A
A
A

KANGAR - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan penyatuan UMNO dan Pas adalah perkara yang baik memandangkan dua parti itu bermusuhan sejak sekian lama.

Menurut beliau, sekiranya dua parti Melayu itu ikhlas mencari keredaan ALLAH SWT dalam kerjasama itu, penyatuan itu sesuatu yang mendapat pahala dan diberkati.

“Dua orang bergaduh sekian lama. Segala maki hamun, carut-marut keluar dari mulut mereka.

"Bertumbuk pun pernah, habis anak pinak terlibat bermasam muka, bersumpah nista.

"Jiran tetangga menjadi serabut kerana pergaduhan mereka. Orang kampung pening kepala. Segala nas agama digunakan, benar atau salah tidak lagi dikira,” katanya di laman sosial Facebook miliknya.

Dr Mohd Asri berkata, namun sekiranya mereka ada agenda lain yang bukan kerana ALLAH SWT, hanya ALLAH SWT tahu apa tersirat.

“Tiba-tiba orang bagitahu saya, keduanya ingin berdamai. Bersalam-salaman menamatkan sengketa.

"Baguslah jika dua orang Muslim yang bermusuhan ingin berbaik. Jika mereka ikhlas mencari reda ALLAH maka itu sesuatu yang mendapat pahala dan diberkati,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau tidak mampu mengetahui apa yang tersirat menerusi perpaduan ummah itu sehingga zahir kesalahannya di sisi syarak.

“Adapun apa yang tersurat, perdamaian antara kaum Muslimin sesuatu yang baik dan disuruh ALLAH dan RasulNYA,” katanya.

Setelah sekian lama bermusuh, UMNO dan Pas mencipta sejarah baharu apabila dua parti terbesar orang Melayu Islam itu memeterai Piagam Muafakat Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Dr Mohd Asri turut menegaskan beliau tidak hadir memenuhi jemputan perdamaian itu kerana ‘belum sampai maqam makrifat dan masih di peringkat bersuluk’.

ARTIKEL BERKAITAN: Kasih UMNO-Pas kembali bertaut di PWTC