Polis nafi keluar saman pakai baju Ysuku

Gambar sekeping surat saman yang tular di laman sosial sejak semalam.
Gambar sekeping surat saman yang tular di laman sosial sejak semalam.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis menafikan pihaknya ada mengeluarkan saman kepada individu atas kesalahan memakai baju bertulis perkataan Ysuku seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Mesej yang tular itu memaparkan gambar sekeping surat saman bertarikh 13 September 2019 dan lokasi saman dikeluarkan dinyatakan di Jalan Mah Seng.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, pegawai JSPT Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima aduan daripada orang awam berhubung isu saman yang tular di media sosial itu pada jam 10.15 pagi semalam.

Menurutnya, orang awam gusar apabila mesej tular itu mendakwa anggota polis trafik IPD Petaling Jaya mengeluarkan saman kepada individu atas kesalahan memakai baju bertulis Ysuku.

"Hasil semakan ke atas nombor siri saman yang tular itu mendapati ia telah dikeluarkan pada tahun 2007 atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar. Saman itu telah dijelaskan dan selesai.

"Pegawai polis trafik berkenaan kemudian membuat laporan pagi tadi selepas mengesyaki saman yang tular di media sosial itu telah diubah oleh individu tidak bertanggungjawab bagi menimbulkan kegusaran orang awam terhadap isu yang kini hangat diperkatakan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Azman berkata, laporan polis dibuat supaya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat tidak benar, sekali gus cuba menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Petaling Jaya.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multi Media.

Artikel Berkaitan: