Tip kasih sayang bersama anak buah

No Image Caption
A
A
A

IRONINYA, jalinan keakraban antara ibu atau bapa saudara bersama anak buah tidak wujud begitu sahaja.

Hubungan murni itu perlu disemai dan dipupuk dalam sanubari seawal usia kanak-kanak lagi kerana perasaan sayang tersebut akan bercambah seiring peningkatan umur mereka.

Paling penting, mengenal pasti acuan yang betul bagi memastikan usaha untuk memaut kasih dengan anak kepada adik, abang atau kakak anda membuahkan hasil terbaik.

Sehubungan itu, bagi edisi kali ini Tip Keluarga kongsikan lima cara untuk membina kemesraan bersama anak buah.

Semoga ikatan kasih sayang tersebut berkekalan hingga hujung nyawa.

1) Cipta memori indah

Jadilah ibu atau bapa saudara yang sentiasa membuatkan anak buah mengukir senyuman dan gelak tawa. Lakukan aktiviti menyeronokkan bersama-sama pada hujung minggu atau musim cuti sekolah seperti menonton wayang, berbasikal, membuat kek, bermain bola sepak ataupun melukis.

Dalam pada itu, jangan lupa merakam foto ketika melakukan aktiviti berkenaan dan cetak untuk dijadikan kenangan.

Artikel Berkaitan:

2) Jadi contoh terbaik

Sentiasa mempamerkan contoh terbaik ketika berada di samping mereka. Jaga perilaku dan tutur kata kerana setiap perbuatan yang kita lakukan bakal menjadi ikutan anak buah.

Sekiranya mereka bersikap kurang adab jangan lemparkan kata-kata kesat atau memukul, sebaliknya menasihati secara lembut. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

3) Membentuk minat

Kenal pasti kecenderungan anak-anak buah bagi membolehkan anda merancang aktiviti yang bersesuaian dengan minat mereka. Sebagai contoh, sekiranya anak buah meminati bidang sains dan angkasawan maka bawa mereka ‘mengembara’ mengenal ruang angkasa di Planetarium Negara, Kuala Lumpur.

Jika mereka menggemari hidupan marin, Aquaria KLCC, Kuala Lumpur antara destinasi terbaik.

4) Bingkisan istimewa

Tunjukkan kasih sayang terhadap anak buah dengan memberikan hadiah istimewa. Soal mahal atau murah bukan keutamaan. Asalkan bingkisan yang dihadiahkan itu memberi makna dan membuatkan mereka mengingati ibu atau bapa saudara.

Selain mainan, anda juga boleh menghadiahkan barangan lain seperti buku cerita, alat tulis, pakaian, kasut atau peralatan sukan.

Ini disebabkan kumpulan psikologi mendapati mainan, makanan segera atau barangan yang mahal bukan kaedah terbaik menunjukkan kasih sayang anda terhadap anak buah. Bimbang sikap materialistik akan terbawa-bawa sehingga dewasa kelak.

5) Jadi sebahagian daripada mereka

Kanak-kanak suka bermain dengan seseorang tatkala ibu atau bapa mereka sibuk dengan tugasan. Justeru, sebagai ibu dan bapa saudara adalah digalakkan mengisi kekosongan sementara itu dengan melayani kerenah anak buah supaya mereka tidak terasa diabaikan.