Jerebu: Malaysia sedia bantu Indonesia

Bee Yin
Bee Yin
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia akan membantu Indonesia dengan apa cara yang mungkin dan sesuai dalam menangani masalah jerebu, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Seklitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata, Malaysia telah pun menyampaikan mesej itu kepada Indonesia bagaimanapun hingga kini belum ada permintaan seumpama itu dibuat.

"Pihak Malaysia melalui Kedutaan kita telah (menyatakan) untuk menghulurkan apa-apa sokongan atau bantuan yang diperlukan bagi memadam kebakaran, kita akan hulurkan bantuan kepada mereka (Indonesia).

“Kita siap sedia jika dan bila mereka menerima tawaran kita,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat khas Kabinet mengenai Kemakmuran Bersama di Perdana Putra di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kabinet bincang usaha tangani jerebu: Dr Mahathir

Bee Yin berkata, oleh kerana ASEAN ketika ini tidak mempunyai akta jerebu rentas sempadan di peringkat serantau, penguatkuasaan berhubungan masalah jerebu perlu ditangani mengikuti negara individu itu sendiri.

“Oleh itu Indonesia hendaklah melakukan apa yang perlu bagi menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang telah bertindak melanggar undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Bee Yin berkata, beberapa prosedur pembenihan awan akan dilakukan dalam beberapa hari ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita akan tumpukan untuk mencari masa yang sesuai untuk buat pembenihan awan di Selangor sebab kualiti udara telah pun merosot tapi kena tengok awan dan situasi awan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, apa yang penting sekarang ialah memadamkan kebakaran hutan di Indonesia.

Katanya, menurut laporan terdapat 30 syarikat bertanggungjawab terhadap kebakaran hutan di Indonesia. - Bernama