KKM saran aktiviti ditangguh jika IPU lebih 100

Noor Hisham Abdullah
Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan semua aktiviti keramaian atau sukan di luar bangunan ditangguhkan apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 seperti yang terkandung dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan 2019.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, berikutan keadaan jerebu yang masih melanda dan penganjuran beberapa acara 'luaran' yang melibatkan aktiviti fizikal, langkah tersebut perlu diambil kerana ia akan meningkatkan risiko kesihatan akibat jerebu.

"Semasa aktiviti fizikal lasak, kadar pernafasan akan meningkat menyebabkan jumlah udara yang disedut turut bertambah berbanding semasa rehat.

"Keadaan ini menyebabkan jumlah udara tercemar lebih banyak disedut masuk ke dalam sistem pernafasan," katanya.

Beliau berkata, sekiranya acara berkenaan diteruskan oleh pihak penganjur, peserta disaran menggunakan penutup hidung dan mulut semasa aktiviti dijalankan.

Bagaimanapun katanya, penggunaannya tidak menjamin dapat mengurangkan pendedahan kepada jerebu.

"Selain itu, ia boleh menimbulkan ketidakselesaan dan kesukaran untuk bernafas semasa aktiviti tersebut," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang hadir menonton acara berkenaan supaya memakai penutup hidung dan mulut serta memendekkan tempoh berada di luar bangunan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, memilih untuk tidak berada di luar adalah lebih baik dan elakkan daripada membawa kanak-kanak bagi menonton acara sukan berkenaan.

"Mereka yang mengalami gejala dan tanda seperti batuk, selsema, asma, sakit mata atau jangkitan paru-paru turut disaran ke klinik bagi pemeriksaan dan rawatan sewajarnya," katanya.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan semasa jerebu dan menyemak IPU di lokaliti masing-masing dengan melayari laman portal Jabatan Alam Sekitar di alamat http://apims.doe.gov.my/ dan mengikuti saranan pihak berwajib bagi setiap julat bacaan IPU. - Bernama