Imigresen, SPRM gempur ladang sayur Cameron Highlands

Seramai 39 pekerja warga asing ditahan dalam Ops Hijau dijalankan Imigresen dan SPRM.
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Tujuh ladang sayur dan bunga yang didominasi pekerja warga asing digempur Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), awal pagi Khamis lalu.

Operasi Bersepadu Ops Hijau dijalankan serentak bermula jam 4.30 pagi di kawasan Kuala Terla itu melibatkan 24 pegawai Imigresen Putrajaya.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, 39 daripada 59 warga asing yang diperiksa ditahan kerana disyaki bekerja tanpa permit sah.

Menurutnya, terdapat cubaan melarikan diri ketika serbuan dilakukan, namun tindakan itu berjaya dihalang pegawai Imigresen.

"Semua lokasi serbuan merupakan kawasan ladang tanaman sayur dan bunga yang didominasi pekerja warga asing yang bekerja secara haram.

"Daripada 39 yang ditahan, 17 adalah lelaki warga India, 12 Bangladesh, lapan Myanmar termasuk seorang wanita dan dua Nepal.

"Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Lenggeng untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Menurutnya, enam majikan warga tempatan dikenakan notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi memberi keterangan.

"Jabatan Imigresen mengucapkan terima kasih kepada agensi sahabat, SPRM dan berharap kerjasama sebegini akan menjadi satu agenda berterusan dari semasa ke semasa dalam menjalankan aktiviti penguatkuasaan yang lebih efektif," katanya.