KLK, Indonesia bekerjasama siasat kebakaran hutan

KLK akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia berhubung siasatan kebakaran hutan.
KLK akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia berhubung siasatan kebakaran hutan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia berhubung siasatan terhadap kebakaran hutan di tanah milik anak syarikatnya, PT Adei Plantation and Industry (PT Adei).

Kelmarin, pihak berkuasa Indonesia menamakan PT Adei sebagai satu daripada syarikat berkaitan Malaysia yang disiasat sebagai punca kebakaran hutan di rantau Riau.

Dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu mengesahkan berlakunya kawasan kebakaran yang menjejaskan 2.8 hektar daripada 14,400 hektar ladang yang diuruskan PT Adei dan ia berlaku semasa musim kering luar biasa dengan hujan direkodkan hanya dua hari dalam tempoh 60 hari lepas.

"Pada masa ini, 4.25 hektar yang termasuk kawasan pengasingan telah disita untuk siasatan yang sedang dijalankan.

"PT Adei akan terus memberikan sokongan penuh kepada Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia dan semua pihak berkuasa yang berkaitan untuk membantu dalam siasatan kes itu, " katanya.

Selain itu, KLK mengakui kesungguhan kerajaan Indonesia dalam menghentikan masalah jerebu dan akan menyokong usaha itu.

"KLK ingin mengulangi bahawa ia melaksanakan dasar pembakaran sifar dan mematuhi sepenuhnya dasar ASEAN untuk semua operasi di ladangnya serta serius dalam agenda memadam kebakaran.

"Kumpulan ini mempunyai pasukan pemadam kebakaran yang dilengkapi peralatan di ladang-ladangnya dan telah menjalani latihan memadam kebakaran tahunan yang disahkan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, sistem rondaan ketat dan turut membina menara api untuk memaklumkan pasukan peronda mengenai mana-mana kejadian kebakaran," katanya.

Sebelum ini, Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim telah menyatakan kebimbangan mengenai penyitaan tanah milik anak syarikat empat syarikat perladangan kelapa sawit milik Malaysia di Indonesia yang didakwa sebagai punca kebakaran hutan hingga menyebabkan jerebu di rantau ini.

Selain KLK, syarikat lain yang dinamakan ialah Sime Darby Plantation, IOI Corporation dan TDM.

Teresa berkata, kenyataan pihak berkuasa Indonesia mengenai perkara itu adalah "tuduhan serius" kerana syarikat berkenaan telah menetapkan dan mengamalkan amalan penanaman lestari yang disahkan sama ada melalui Minyak Sawit Mampan Malaysia, Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Mampan, Kelestarian Antarabangsa dan Persijilan Karbon atau gabungan sistem persijilan itu. - Bernama