Bapa tiri durjana rogol remaja OKU

Gambar hiasan. Gambar kecil: Ahmad Adnan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Ahmad Adnan
A
A
A

BATU GAJAH - Seorang lelaki berusia 49 tahun ditahan selepas dipercayai mencabul dan merogol anak tirinya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) sejak empat tahun lalu.

Lelaki yang bekerja sebagai pemandu itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Batu 3, Jalan Tanjung Tualang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa berusia 15 tahun tinggal serumah bersama suspek dan ibunya sejak berusia 10 tahun.

"Laporan berhubung kejadian itu diterima daripada guru sekolah mangsa selepas mendapati remaja terbabit yang mengalami masalah pembelajaran takut dan trauma untuk berkomunikasi dengan lelaki.

"Hasil laporan itu didapati suspek mula mencabul mangsa sejak mangsa berusia 12 tahun dan dirogol sejak mangsa berusia 13 tahun," katanya.

Beliau berkata, perbuatan sumbang suspek terhenti selepas mangsa berpindah ke rumah datuknya di Malim Nawar, Mei lalu.

"Mangsa telah dibawa oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari rumah neneknya di Malim Nawar bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Pemeriksaan dilakukan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mendapati terdapat kesan lama mangsa dirogol," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Adnan berkata, suspek direman selama tujuh hari sehingga 20 September untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.