Penganggur rugi RM37,550 ditipu pelaburan tidak wujud

No Image Caption
A
A
A

MARANG - Teruja mahu mendapatkan keuntungan dalam pelaburan bursa saham yang ditawarkan menerusi aplikasi WhatsApp, seorang penganggur terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian RM37,550.

Pemuda berusia 20 tahun itu menyedari ditipu pada Selasa lalu apabila wakil syarikat terbabit berkali-kali mengarahkannya memasukkan wang ke dalam nombor akaun bank berbeza walaupun sudah melakukan lebih 10 transaksi.

Menurut sumber, mangsa mendakwa menerima satu pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai Alif, wakil sebuah syarikat pelaburan saham.

Katanya, mangsa yang tertarik dengan tawaran dinyatakan tidak mengesyaki apa-apa sehingga sanggup memasukkan wang ke dalam beberapa akaun bank membabitkan lebih 10 transaksi bermula pada 30 Ogos lalu, manakala transaksi terakhir dibuat Selasa lalu.

"Mangsa berbuat demikian selepas mendengar penerangan berkaitan promosi pakej pelaburan itu sebelum suspek meminta memasukkan wang ke dalam nombor akaun bank diberikan.

"Namun, mangsa mula curiga apabila suspek memintanya memasukkan wang lagi walaupun dia sudah membuat pembayaran hampir RM40,000 sebelum membuat laporan polis untuk tindakan susulan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Amran@Muhammad Zaki Omar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel Berkaitan: