'Ibu janji balik hari ini'

Gambar kenangan Nor Syazwany (kanan) dan adiknya bersama ibu bapa mereka.
Gambar kenangan Nor Syazwany (kanan) dan adiknya bersama ibu bapa mereka.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - "Ibu janji pulang ke rumah hari ini. Tak sangka yang pulang hanya jasad mereka."

Demikian luah anak sulung kepada pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Jalan Kota Tinggi-Mersing di Jemaluang di sini malam tadi.

Nor Syazwany Mohd Hanafi, 17, berkata, dia sempat berbual bersama ibunya menerusi panggilan telefon kira-kira 15 minit sebelum kejadian.

Menurutnya, dalam perbualan singkat itu, ibunya sempat berpesan supaya mengunci pintu rumah.

"Saya terima panggilan telefon dalam jam 8.45 malam. Sekejap sangat bercakap dengan ibu tak sampai lima minit.

"Ibu pesan jangan lupa kunci pintu rumah depan dan belakang. Tak lama selepas itu dalam jam 9 lebih, bapa saudara saya telefon beritahu ibu dan abah kemalangan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Pulau Duyong hari ini.

Nor Syazwany merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Khairiah manakala adiknya, Muhammad Akmal, 12, belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tumbuh.

Ditanya kali terakhir bertemu ibunya, Nor Syazwany berkata, malam sebelum bertolak menyertai konvoi motosikal itu dia sempat berbual bersama ibu dan bapanya.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak merasai perubahan yang pelik pun pada mereka sebab masa tu berbual macam biasa.

"Ibu dan aboh pesan ada sediakan ubat demam dan selesema untuk adik. Itulah kali terakhir kami berborak bersama-sama," katanya.

Katanya, dia dan adiknya agak terkilan kerana ibu bapanya telah berjanji untuk membawa mereka berjalan-jalan Isnin ini.

"Ibu janji nak bawa saya dan adik pergi jalan-jalan. Tak sangka memang tak sempat, apapun saya reda dengan ketentuan Ilahi.

"Saya perlu kuat demi adik saya," katanya yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan.

Nor Syazwany bersama adiknya, Muhammad Akmal menunjukkan gambar ibu dan bapa mereka.
Nor Syazwany bersama adiknya, Muhammad Akmal menunjukkan gambar ibu dan bapa mereka.

Sementara itu, adik mangsa, Mohammad Faddil Mohd Shafie, 33, berkata, dia menerima berita kejadian menimpa kakaknya itu menerusi pesanan WhatsApp.

Menurutnya, jenazah kakak dan abang iparnya itu dijangka tiba di Pulau Duyong malam ini.

"Jenazah dijangka tiba selepas Isyak sekitar jam 9 malam ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kubur Rambai, Pulau Duyong," katanya.

Terdahulu, pasangan suami isteri maut manakala seorang lagi parah apabila konvoi motosikal berkuasa tinggi terbabit kemalangan di Jalan Kota Tinggi-Mersing di Jemaluang di sini.

Kejadian berlaku ketika pasangan terbabit, Mohd Hanafi Ismail, 37, dan Salimah Mohd Shafie, 40, dari Pulau Duyong, Terengganu, dan seorang lagi mangsa dalam perjalanan ke Johor Bharu, Johor, bagi menyertai acara Desaru International Bike Week (DIBW) 2019 yang berlangsung selama empat hari bermula semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri maut konvoi motosikal berkuasa-tinggi